Komik Indera 2 tampil kisah pahlawan Melayu dalam dunia fantasi

Iklan
Muhamad Yusuf menunjukkan dua naskhah kompilasi Indera 1 dan 2 yang dijual RM10 sahaja sempena Jualan Gudang Karangkraf 2026.

SHAH ALAM - Komik terbaharu terbitan Komikraf di bawah Buku Karangkraf berjudul Indera 2 antara yang boleh didapati pada harga promosi RM10 sahaja, khusus sempena Jualan Gudang Karangkraf 2026 dari 30 Oktober hingga 9 November ini.

Editor Kreatif Komikraf, Muhamad Yusuf Roofi berkata, komik Indera 2 mengetengahkan kisah pahlawan Melayu menerusi olahan dunia fiksyen dan fantasi yang turut menerapkan elemen budaya serta sistem pemerintahan kesultanan lama.

Iklan
Iklan

Menurutnya, karya hasil nukilan Fazrul Jaffar itu merupakan kesinambungan kepada Indera 1 yang diterbitkan pada tahun lalu.

"Komik Indera 2 ialah judul terbaharu yang diperkenalkan kebetulan pada tempoh penganjuran Jualan Gudang Karangkraf 2026.

Iklan

"Ia mengisahkan tentang pahlawan Melayu, tetapi versi 'fictional universe' selain menerapkan nilai-nilai budaya kesultanan lama.

"Pembaca juga boleh mempelajari tentang sistem kesultanan, hierarki dan sebagainya menerusi jalan cerita yang disampaikan. Sempena Jualan Gudang Karangkraf 2026, kami tawarkan hanya RM10 berbanding harga asal RM15," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Iklan

Dalam perkembangan sama, Muhamad Yusuf memaklumkan, Indera 3 kini dalam proses penghasilan dan dijangka diterbitkan pada tahun hadapan.

Jelasnya, tempoh sekitar enam bulan lazimnya diperuntukkan bagi seseorang pelukis komik baharu yang bergerak secara solo untuk menyiapkan sebuah naskhah.

"Insya-ALLAH, manuskrip Indera vol. 3 sedang dalam proses penghasilan dan bakal diterbitkan pada tahun hadapan," ujarnya.

Mengulas mengenai penerbitan komik di bawah jenama Komikraf, Muhamad Yusuf memaklumkan, pihaknya turut mempromosikan beberapa judul lain yang pernah diperkenalkan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) sebelum ini.

Antaranya, Apa Jadi Kalau Seram + Sekolah, Dragania, Sekolah Banyak Penunggu, Furqan, Fantasi Alisha: Ratu Bunian, Darlingku Minah Angau dan Bagaikan Puteri.

Menurut Muhamad Yusuf, siri Bagaikan Puteri naskhah yang paling mendapat sambutan hangat memandangkan ia adaptasi karya novelis thriller terkenal, Ramlee Awang Murshid.

Jualan Gudang Karangkraf 2026 berlangsung di Kompleks Karangkraf, Seksyen 15, di sini bermula jam 9 pagi hingga 7 petang.

Konsep yang diketengahkan kali ini cukup menarik apabila penganjur menawarkan promosi 'sebakul penuh hanya RM50' bagi novel dan buku motivasi terpilih, membolehkan pengunjung memilih pelbagai bahan bacaan untuk diri sendiri, anak-anak serta ahli keluarga.