SUNGAI BULOH - Lebih 500 rumah di Kampung Melayu Subang di sini terjejas akibat banjir kilat yang berulang sebanyak empat kali dalam tempoh 30 hari.
Menteri Sumber Manusia yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R Ramanan berkata, tiga kejadian banjir direkodkan sepanjang Oktober sebelum kawasan berkenaan sekali lagi dinaiki air pada Isnin.
“Dalam masa 30 hari ini, ini adalah kali keempat yang ini berlaku. Tiga kali bulan lepas, ini adalah kali pertama pada November,” katanya.
Ramanan berkata demikian ketika ditemui selepas mangsa banjir di Kampung Melayu Subang pada Selasa.
Ramanan berkata, pasukan tindak balas pantas dari Sungai Buloh telah digerakkan bagi membantu kerja pembersihan rumah serta menyediakan makanan kepada penduduk terjejas.
"Bantuan turut merangkumi barangan keperluan asas seperti makanan, peralatan memasak, seterika dan tilam bagi menggantikan barangan yang hilang atau rosak akibat banjir," katanya.
Dalam perkembangan sama, Ramanan berkata, satu penyelesaian sementara menerusi pembinaan kolam tadahan akan dilaksanakan bagi mengurangkan risiko banjir kilat sementara menunggu projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) disiapkan.
"Langkah itu susulan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya penyelesaian sementara diadakan bagi mengurangkan kesan banjir yang berulang di kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, projek RTB Fasa 1 dan Fasa 2 bagi kawasan Sungai Buloh serta Sungai Damansara telah diluluskan dan sedang dilaksanakan secara berperingkat.
"Tahap kemajuan projek berkenaan berbeza mengikut kawasan, dengan sesetengah bahagian mencapai sekitar 30 hingga 40 peratus, manakala kawasan lain mencatatkan kemajuan antara 50 hingga 60 peratus," katanya.
Ramanan berkata, kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri penting bagi memastikan pelaksanaan projek berkenaan dapat dipercepatkan.