[VIDEO] KLIA makin canggih, penyeludup dadah beralih ke lapangan terbang lain termasuk Pulau Pinang, Kota Bharu - PM

Iklan

KUALA LUMPUR – Penyeludup dadah kini dipercayai beralih menggunakan lapangan terbang lain termasuk di Pulau Pinang dan Kota Bharu selepas menyedari penggunaan teknologi pengesanan lebih canggih di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. -Foto Bernama

Iklan
Iklan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perubahan taktik itu menyebabkan kerajaan perlu memperluas penggunaan teknologi kamera litar tertutup (CCTV) analitik kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan kegiatan penyeludupan dadah di pintu masuk negara.

"Sekarang bila mereka tahu KLIA (ada teknologi pengesanan lebih canggih), maka dia pergi ke (lapangan terbang) terutamanya yang ada penerbangan ke luar negara.

Iklan

"Kota Bharu sekarang ada (penerbangan ke luar negara), Pulau Pinang ada. Jadi kita kena sediakan kemudahan teknologi dan analitik ini yang lebih canggih," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) sama ada kerajaan bercadang memperkenalkan kaedah lain bagi menangani taktik penyeludupan dadah yang semakin canggih di lapangan terbang.

Iklan

Ku Abd Rahman sebelum itu membangkitkan bahawa alat pengimbas sedia ada di lapangan terbang dibina untuk mengesan bahan letupan, senjata dan logam berbahaya, bukannya dadah.

Mengulas perkara itu, Anwar mengakui peralatan pengimbas yang digunakan sebelum ini berasaskan teknologi lama, sedangkan kaedah penyeludupan semakin canggih sehingga ada dadah yang sukar dikesan melalui pemeriksaan biasa.

Menurutnya, kerajaan sudah memperoleh kemudahan analitik baharu bagi meningkatkan keupayaan mengesan dadah, selain penggunaan unit anjing pengesan K9 dalam operasi pemeriksaan keselamatan.

Bagaimanapun, katanya, kemudahan pengesanan baharu itu setakat ini hanya terdapat di KLIA, sedangkan penyeludup turut menggunakan lapangan terbang lain yang mempunyai penerbangan antarabangsa.

"Memang benar sebab kemudahan yang disediakan itu kemudahan berdasarkan teknologi lama dan penyeludupan ini caranya lebih canggih dan kadang-kadang tak dapat dikesan daripada pemeriksaan badan.

"Sebab itu sekarang ini disediakan kemudahan yang dipanggil analitik baharu untuk dapat mengesan dadah selain daripada K9. Ini kemudahan baharu yang telah diperoleh, tetapi baru di KLIA," tambahnya.

Anwar menegaskan, kerajaan memandang serius kegiatan penyeludupan dadah dan barangan terlarang kerana kelemahan kawalan di mana-mana kawasan sempadan boleh menjejaskan keselamatan negara.

Menurutnya, kegiatan penyeludupan bukan sahaja berlaku melalui pintu masuk udara, malah turut melibatkan sempadan darat dan laut yang memerlukan penguatkuasaan lebih ketat.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan sudah mengambil langkah memperkukuh kerjasama antara Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pengangkutan serta agensi penguatkuasaan berkaitan melalui beberapa inisiatif keselamatan.

Anwar memaklumkan, selain kelengkapan sedia ada dan penggunaan (CCTV) analitik AI, antara langkah yang turut diperkenalkan ialah pemeriksaan unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di kawasan pengasingan bagasi.

Kata beliau, kerajaan turut memberikan perhatian kepada pemodenan aset dan infrastruktur keselamatan, selain meningkatkan penyelarasan maklumat secara masa nyata antara agensi penguatkuasaan bagi memperkukuh kawalan di pintu masuk negara.