Ibu bapa maut dalam perjalanan menghadiri konvokesyen anak

Iklan
Pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Gerik, Perak ketika dalam perjalanan ke istiadat konvokesyen anak perempuan. Foto UMK

KOTA BHARU – Seorang bakal graduan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kehilangan kedua-dua ibu bapanya yang maut dalam nahas di Lebuhraya Timur-Barat, Gerik, Perak, sehari sebelum istiadat konvokesyen yang dijadualkan berlangsung pada Selasa.

UMK dalam kenyataan pada Isnin menzahirkan ucapan takziah dan dukacita mendalam atas tragedi yang menimpa Husna Syakira.

Iklan
Iklan

Sejurus menerima berita berkenaan, universiti itu melalui Bahagian Kesejahteraan Mahasiswa, Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) menggerakkan pasukan pegawai universiti, wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) serta Pegawai Psikologi ke Hospital Gerik.

“UMK turut menyediakan kemudahan van jenazah bagi menguruskan penghantaran pulang jenazah kedua-dua ibu bapa Husna Syakira ke kediaman rasmi keluarga,” menurut kenyataan itu.

Iklan

Pasangan terbabit, Abd Halim Bakar, 64, dan isterinya, Siti Sara Abd Rahman, 58, maut manakala seorang anak lelaki mereka, Mohamad Syazwan Hakimi, 28, parah selepas kereta dinaiki keluarga itu bertembung dengan sebuah bas persiaran.

Husna Syakira Abd Halim yang berasal dari Kedah merupakan anak pasangan berkenaan dijadualkan menerima ijazah pada Istiadat Konvokesyen UMK Ke-16 di Bachok, namun tidak dapat menghadiri istiadat itu susulan tragedi berkenaan.

Iklan

Istiadat konvokesyen yang berlangsung di UMK bermula Ahad hingga Khamis ini. Foto UMK

Husna Syakira merupakan bakal graduan Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) dalam program Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan (Logistik dan Perdagangan Pengedaran) dengan Kepujian.

Kedua-dua jenazah ibu bapanya masih berada di Hospital Gerik bagi menjalani bedah siasat sebelum dibawa terus ke tanah perkuburan untuk dikebumikan selepas proses berkenaan selesai.

Dalam kejadian jam 1.40 petang Isnin, kereta jenis Perodua Alza dinaiki tiga beranak itu terbabit kemalangan dengan sebuah bas persiaran selepas Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Banjaran Titiwangsa, menghala ke Gerik ketika dalam perjalanan menghadiri istiadat konvokesyen berkenaan di Kelantan.

Dalam pada itu, UMK turut memberi jaminan akan terus memberikan sokongan sewajarnya kepada keluarga mangsa termasuk dalam urusan kebajikan dan keperluan berkaitan, selain memastikan kesejahteraan Husna Syakira diberikan perhatian.