KUALA LUMPUR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus perkukuh hubungan dengan masyarakat melalui semangat kesukanan dan kebersamaan menerusi penganjuran Armed Forces Run 2026 pada Disember depan.
Markas ATM dalam kenyataan memaklumkan, ini mencerminkan komitmen ATM selaras dengan tema Hari Ulang Tahun ATM Ke-93 iaitu 'Ketahanan ATM, Benteng Pertahanan Negara'.
"Penganjuran ini bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti kesukanan di samping mempererat hubungan antara ATM dengan masyarakat," katanya pada Selasa.
Tambah kenyataan itu, acara ini terbuka kepada semua warganegara Malaysia dengan menawarkan tiga kategori larian iaitu Armed Forces Fun Run 3 kilometer (KM), 10km dan Half Marathon 21km.
Jelasnya, pelepasan peserta dijadualkan bermula jam 4 pagi bagi kategori 21km, diikuti 10km pada jam 7 pagi dan 3km pada jam 7.30 pagi.
"Pendaftaran dibuka sehingga 30 November 2026 dengan kadar yuran RM45 bagi kategori 3km, RM75 bagi 10km dan RM90 (21km).
"Maklumat lanjut serta pendaftaran boleh diperoleh melalui saluran rasmi Armed Forces Run 2026 seperti yang tertera pada bahan promosi yang disertakan atau melalui pautan https://checkpointspot.asia/event/armedforces-run-2026," ujarnya.
Katanya lagi, selain larian, acara ini turut menampilkan persembahan pentas, persembahan khas dan penyampaian hadiah.
"Para peserta juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah bernilai melebihi RM80,000, manakala hadiah wang tunai disediakan kepada pemenang kategori pertandingan 10km dan 21km.
"Sehubungan itu, ATM mengalu-alukan penyertaan orang ramai untuk bersama-sama memeriahkan acara ini," ujarnya.