SABAK BERNAM - Kegiatan sindiket penyeludup migran dengan mengenakan bayaran sehingga RM1,800 setiap seorang untuk masuk ke Malaysia dibongkar menerusi operasi khas di sini pada Ahad.
Op Pintas itu digerakkan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dengan kerjasama Cawangan D6, Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) serta Pasukan Polis Marin.
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kenyataan memaklumkan, hasil serbuan di tiga lokasi berasingan menahan seramai 36 individu, terdiri daripada 25 warga Indonesia termasuk dua kanak-kanak selain 12 individu yang dipercayai terlibat sebagai transporter.
"Siasatan awal mendapati sindiket dipercayai menjalankan kegiatan penyeludupan migran masuk dan keluar Malaysia melalui laluan yang tidak diwartakan dengan kadar bayaran antara RM1,500 hingga RM1,800 setiap seorang.
"Transporter pula mengenakan bayaran bermula RM500 bagi perjalanan ke lokasi di Lembah Klang, bergantung pada jarak perjalanan," katanya di Facebook rasmi pada Isnin.
Tambahnya, polis turut merampas 11 kenderaan, 13 buah telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM4,930 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan.
Jelasnya, PDRM akan meneruskan siasatan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket, termasuk pihak yang berperanan sebagai pengendali dan penyelaras aktiviti penyeludupan migran ini.
"PDRM menegaskan komitmen untuk mempergiat tindakan penguatkuasaan dan membanteras kegiatan penyeludupan migran yang menggunakan laluan tidak diwartakan demi memastikan keselamatan serta kedaulatan sempadan negara terus terpelihara," ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 26A dan Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.