GERIK - [DIKEMAS KINI] Sepasang suami isteri maut, manakala anak mereka cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dengan sebuah bas persiaran di Jalan Raya Timur Barat, selepas kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Banjaran Titiwangsa di sini pada Isnin.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.40 tengah hari sebelum jentera tiba di lokasi pada jam 2.50 petang.
Menurutnya, setiba di lokasi ketiga-tiga mangsa yang merupakan warga tempatan ditemui tersepit di dalam Perodua Alza.
"Mangsa lelaki berusia 64 tahun yang memandu kenderaan berkenaan dan seorang wanita berusia 58 tahun di tempat duduk penumpang hadapan disahkan meninggal dunia.
"Seorang lagi mangsa lelaki berusia 28 tahun yang berada di tempat duduk belakang pula mengalami kecederaan parah," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sabarodzi berkata, ketua operasi melakukan penilaian situasi sebelum mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat.
Katanya, kesemua mangsa berjaya dikeluarkan sebelum dua mangsa yang berada di bahagian hadapan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
Menurutnya, mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Gerik menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Sementara itu, beliau berkata, pemandu bas, dua pembantu serta 30 penumpang bas berkenaan terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.
"Operasi menyelamat melibatkan 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik serta BBP Jeli dengan bantuan enam anggota polis dan dua anggota KKM.
"Operasi dikawal pada jam 3 petang dan tamat sepenuhnya pada jam 3.30 petang," katanya.