KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan tiada elemen perkauman atau gangsterism dalam kejadian rusuhan melibatkan sekumpulan individu di hadapan sebuah kafe di Desa Tun Razak Sungai Besi di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, siasatan mendapati kejadian terbabit disyaki berpunca peselisihan faham akibat perebutan kawasan perniagaan namun siasatan masih dijalankan bagi memgenal pasti punca sebenar insiden terbabit.
"Tiada elemen perkauman dan kongsi gelap dalam kejadian terbabit dan kita minta orang ramai untuk tidak menimbulkan spekulasi berhubung insiden itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini pada Isnin.
Mohd Rosdi berkata, pihaknya menahan sembilan individu termasuk seorang wanita berusia 16 hingga 44 tahun bagi membantu siasatan serta merampas pelbagai barangan disyaki digunakan dalam kejadian tersebut.
"Siasatan awal mendapati dua daripada yang ditahan adalah suspek utama berusia 32 dan 44 tahun dalam kejadian tersebut.
"Kesemua mereka mengaku terlibat dalam kejadian tersebut dan ditahan reman antara satu hingga tiga hari bermula hari ini," katanya.
Beliau berkata enam individu yang ditahan memiliki rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah dan dadah.
"Kita masih mengesan kira-kira 15 individu yang disyaki terbabit dalam kejadian tersebut. Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata," katanya.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus mengesahkan sembilan individu ditahan oleh sepasukan anggota Unit Rondaan Bermotor (URB) Balai Polis Sungai Besi dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sekitar lokasi kejadian selepas menerima maklumat berhubung pergaduhan membabitkan sekumpulan individu kira-kira 11 malam.