TAWAU - Tiga beranak maut manakala seorang lagi penumpang cedera parah selepas kereta dinaiki terbabas di Batu 14, Jalan Apas di sini jam 9.30 pagi pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, mangsa yang maut ialah seorang wanita berusia 50 tahun bersama dua anak lelakinya masing-masing berusia 30 serta 28 tahun yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan pada 10.16 pagi manakala anak perempuannya berusia 15 tahun cedera parah.
"Lelaki berusia 28 tahun memandu kenderaan manakala abangnya berusia 30 tahun duduk di bahagian penumpang hadapan.
"Ibu mereka pula berada di tempat duduk belakang sebelah kanan manakala adik perempuan duduk di sebelah ibu mereka dan cedera pada bahagian perut serta tulang rusuk,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Menurut Rosdi, pemandu kereta itu dipercayai hilang kawalan ketika melalui jalan lurus sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan merempuh sebatang pokok kelapa sawit, lalu terseret sejauh kira-kira 60 meter dan terbalik.
"Pemeriksaan awal mendapati pemandu tidak memiliki lesen memandu dan kenderaan terbabit ditahan bagi menjalani pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom),” katanya.
Beliau berkata, polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan saksi bebas bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama