DALAM politik, pelik juga perangai sesetengah orang. Bila bercakap tentang reformasi, bukan main bersemangat mahu mengubah negara.
Tetapi apabila anak muda muncul sebagai calon, mulalah dipersoalkan usia, pengalaman dan kelayakan. Reformasi apa kalau mentaliti masih zaman batu?
Bila Parti Amanah Negara (Amanah) mempertaruhkan Mukhlis Mubin, 23, graduan undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di DUN Kuala Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 14 November ini.
Merak Jalanan sempat teliti komen-komen netizen yang kebanyakan mengecam keputusan itu dengan sindiran, keji dan nista.
Barangkali ada beranggapan seseorang perlu mengumpul uban terlebih dahulu sebelum layak memahami masalah rakyat.
Kalau begitu, elok letak syarat wajib jadi calon: wajib berambut putih, pengalaman tiga dekad dan sekurang-kurangnya menyertai lima penggal pilihan raya.
Hakikatnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mula mengasah kepimpinan melalui gerakan mahasiswa. Jangan lupa Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang baru melangkah ke alam rumahtangga.
Kita bercakap mengenai reformasi menyeluruh, tetapi reformasi bukan sekadar menukar slogan, logo atau wajah di pentas ceramah.
Kita juga perlu berani menyingkirkan budaya politik dinosaur yang takut kepada pembaharuan dan enggan memberi ruang kepada pelapis. Namun, jangan pula tersalah faham. Bukan semua ahli politik berusia itu dinosaur, sebagaimana bukan semua calon muda itu permata.
Yang perlu disingkirkan ialah mentaliti usang, politik kepentingan dan budaya menganggap kuasa sebagai harta pusaka. Dinosaur politik tidak semestinya pupus kerana usia, tetapi kerana enggan berevolusi.