MUAR - Dua wanita ditahan selepas disyaki menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan menyebabkan kecederaan terhadap seorang anggota penguat kuasa wanita Majlis Perbandaran Muar (MPM) ketika operasi menangkap anjing liar di Taman Bintang Emas, Bukit Pasir di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kedua-dua suspek berusia 52 dan 24 tahun ditahan pada hari sama di kediaman masing-masing di Bukit Pasir bagi membantu siasatan.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 5.45 pagi ketika sepasukan anggota MPM menjalankan operasi bersepadu menangkap anjing liar di kawasan berkenaan.
"Semasa operasi dijalankan, kedua-dua wanita terbabit dipercayai mempertikaikan tindakan anggota operasi, menghalang pelaksanaan tugas dan cuba melepaskan anjing yang sedang ditangkap.
"Keadaan kemudian mencetuskan pergelutan apabila seorang anggota penguat kuasa wanita cuba meleraikan situasi berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Raiz berkata, akibat kejadian itu, anggota penguat kuasa berusia 45 tahun mengalami kecederaan tisu lembut pada lengan kanan dan kiri berdasarkan pemeriksaan perubatan dijalankan.
Katanya, hasil saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati negatif.
"Kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Muar dan perintah reman selama dua hari dibenarkan bagi membantu siasatan lanjut," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kes turut disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Raiz berkata, polis sedang meneruskan siasatan dengan mengambil keterangan saksi berkaitan dan mendapatkan maklumat tambahan bagi melengkapkan siasatan.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa ketika operasi penguatkuasaan dijalankan serta tidak bertindak sehingga menghalang penjawat awam melaksanakan tugas mereka.
Terdahulu, beberapa keping gambar kejadian tular di media sosial memaparkan seorang lelaki memakai vest MPM terbaring selepas dipercayai bergelut dengan seorang wanita.
Insiden itu mengundang kemarahan warganet sehingga ada antara mereka meminta pihak MPM mengambil tindakan terhadap wanita terbabit.