KUALA LUMPUR - Taktik menyamar sebagai anggota polis Hong Kong dibongkar dalam serbuan di dua unit kediaman yang dipercayai menjalankan kegiatan penipuan dalam talian di Jalan Tengah di sini pada Khamis.
Serbuan kira-kira jam 6.35 petang itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hasil maklumat risikan berhubung kegiatan pusat panggilan (calling centre) yang disyaki terbabit dalam penipuan dalam talian.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, operasi di dua unit kediaman berkenaan membawa kepada penahanan 18 individu warga Taiwan.
"Kesemua yang ditahan terdiri daripada 17 lelaki dan seorang wanita berusia antara 19 hingga 43 tahun.
"Polis turut merampas 69 telefon bimbit, lima komputer riba serta dua helai baju seragam polis Hong Kong yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati sindiket itu disyaki menjalankan kegiatan penipuan dengan menyamar sebagai anggota polis Hong Kong bagi memperdaya mangsa di negara berkenaan.
Beliau berkata, sindiket itu dipercayai menggunakan capaian internet untuk menjalankan kegiatan penipuan secara dalam talian dan telah beroperasi kira-kira lima bulan.
"Kesemua suspek direman selama empat hari bermula 30 Oktober hingga 2 November ini bagi membantu siasatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan," katanya.
Ujarnya, orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kegiatan menyalahi undang-undang kepada IPD Dang Wangi menerusi talian 03-2600 2222 atau balai polis berhampiran.