PRN Melaka: PH fokus raih sokongan rakyat susulan kerjasama dengan Bersatu – Saifuddin

Iklan
Saifuddin (tengah) ketika sidang media sempena PRN Melaka di Bilik Gerakan Utama PH di Hang Tuah Jaya pada Sabtu.

HANG TUAH JAYA - Pakatan Harapan (PH) tidak mahu heret sebarang spekulasi mengenai kemungkinan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menteri Dalam Negeri yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tumpuan ketika ini adalah untuk mendapatkan sokongan rakyat dengan memberi perhatian sepenuhnya kepada usaha mendekati pengundi.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, tempoh 12 hari menjelang hari pengundian terlalu singkat untuk parti melayan sebarang andaian politik.

"Pilihan raya ini satu proses demokrasi dan tumpuan kita adalah untuk memenangi sokongan rakyat.

Iklan

"Buat masa ini, fokus kami tidak lagi untuk respons kepada apa-apa andaian atau spekulasi kerana 12 hari adalah tempoh yang sangat pendek.

"Hala tuju kami seterusnya adalah memastikan calon dan jentera memberi fokus untuk mendekati pengundi. Itu keutamaan kami," katanya.

Iklan

Beliau mengulas demikian ketika ditanya mengenai kerjasama PH dan Bersatu PRN Melaka dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama PH di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, empat kerusi yang ditandingi PH bertindih dengan Bersatu melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, Gadek, Ayer Keroh dan Pengkalan Batu.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, proses penamaan calon PH berjalan lancar dan secara rasminya kempen digerakkan ke seluruh negeri bertemakan 'Melaka Rumah Kita'.

Jelas beliau, tagline itu diketengahkan membawa mesej perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan yang perlu dinikmati seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama serta latar belakang budaya.

"Rumah ini satu analogi atau kiasan, iaitu tempat kita berteduh dan berlindung. Sebab itu ada istilah rumahku syurgaku.

"Kita mahu sebuah negeri yang menjadi tempat bahagia untuk didiami semua kaum dan semua orang, tanpa mengira latar belakang agama serta budaya," katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, fokus PH adalah memperkenalkan 24 calon yang dipertaruhkan kepada pengundi menerusi gabungan muka lama berpengalaman dan muka baharu.

Menurutnya lagi, gabungan itu diyakini mampu menawarkan calon yang mempunyai rekod khidmat, keupayaan serta latar belakang berbeza mengikut keperluan kawasan masing-masing.

Beliau berkata, PH menolak politik kebencian, adu domba dan perkauman.

"Kami menganggap pilihan raya negeri ini sebagai pesta demokrasi. Perbezaan pandangan dalam politik perlu dihormati dan garis merah kami adalah menolak sama sekali politik kebencian serta adu domba.

"Kami mahu kempen yang aman kerana pilihan raya bukan diukur berdasarkan pihak mana paling lantang, tetapi siapa paling dipercayai dan diyakini," katanya.

Beliau berkata, PH menyedari kemenangan dalam PRN bukan sekadar mandat politik, sebaliknya tanggungjawab untuk meneruskan pentadbiran yang memberi keutamaan kepada prestasi, tadbir urus dan kebajikan rakyat.

"Kami tidak pernah sama sekali memandang rendah kebijaksanaan rakyat, khususnya rakyat negeri Melaka," katanya.