MELAKA - Di sebalik perbezaan wadah politik, kasih sayang seorang ibu terhadap anak tetap utuh, malah restunya menjadi pengiring perjalanan hidup setiap anak.
Itulah yang tergambar menerusi detik penuh emosi membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, Muhammad Faiq Azman, 36, atau Along Faiq bersama ibunya yang juga penyokong Barisan Nasional (BN) apabila kedua-duanya berpelukan erat sambil menitiskan air mata.
Iklan
Iklan
Momen berkenaan mencuri perhatian selepas video yang dikongsi menerusi akaun @threads faiq_n26serkam tular dan dipercayai dirakam ketika proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu.
Apa yang menarik perhatian ialah perbezaan sokongan politik antara mereka apabila Faiq hadir sebagai calon PH, manakala ibunya pula mengenakan pakaian yang memperlihatkan sokongan kepada BN.
Dalam video itu, Faiq dilihat memeluk ibunya sebelum meluahkan rasa terima kasih atas pengorbanan wanita berkenaan yang telah melahirkannya.
Faiq merupakan anak jati Kampung Pulai, DUN Serkam dan bakal berdepan saingan tiga penjuru bagi merebut kerusi berkenaan dengan Datuk Azman Abdullah mewakili BN manakala Muhammad Saffie Md Yasan bertanding atas tiket Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Kerusi DUN Serkam mempunyai seramai 21,352 pengundi manakala penyandangnya ialah Datuk Zaidi Attan daripada BN yang memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 79 undi dalam PRN lalu.