SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) hanya bertanding di lima daripada tujuh kerusi diperuntukkan sebagai penawar damai kepada Barisan Nasional (BN) khususnya MCA bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi ruang kepada BN khususnya MCA untuk bertanding di kerusi tambahan.
Sebelum ini, MCA mengumumkan penambahan satu lagi kerusi untuk ditandingi pada PRN Melaka, menjadikan keseluruhan empat kerusi diperuntukkan kepada parti itu.
Kerusi tambahan berkenaan ialah Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana yang akan ditandingi Melvin Chua Kew Wei.
Pada Khamis, MCA turut mengumumkan pertambahan satu kerusi melibatkan DUN Bandar Hilir yang akan ditandingi ahli Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Jasmine Lok Huey Yee.
Berikutan itu, keseluruhan kerusi yang ditandingi BN meningkat kepada 23 berbanding 21 yang diumumkan sebelum ini.
Sementara itu, PN mengumumkan lima calon untuk bertanding pada PRN Melaka, dengan masing-masing dua calon daripada Pas dan Parti Wawasan Negara (Wawasan), manakala satu lagi daripada Gerakan.