KUALA LUMPUR – Seramai 13 Ahli Parlimen yang menandatangani Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan Kerajaan Madani pada Khamis masih kekal sebagai pembangkang serta bebas mengkritik kerajaan dan menjalankan fungsi semak dan imbang terhadap pentadbiran negara.
Penasihat Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, perjanjian berkenaan tidak bermakna Ahli Parlimen terbabit perlu menyokong semua perkara yang dibawa oleh kerajaan.
Sebaliknya, beliau menjelaskan, persefahaman itu membolehkan kerajaan menyediakan peruntukan setara kepada kawasan Parlimen terbabit bagi tujuan pembangunan dan penyampaian khidmat kepada penduduk setempat.
Menurutnya, pemberian peruntukan berkenaan tertakluk kepada peraturan kewangan serta kelulusan Parlimen.
Beliau berkata demikian menerusi video yang dimuat naik di Facebook bagi menjelaskan tujuan serta persetujuan yang dicapai menerusi pemeteraian perjanjian berkenaan.
Terdahulu, Kerajaan Madani memeterai CSA dengan enam Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) serta enam Ahli Parlimen Bebas.
Menerusi perjanjian itu, kesemua 13 Ahli Parlimen berkenaan bersetuju menyokong pentadbiran Kerajaan Madani sehingga tamat penggal Parlimen semasa, termasuk dalam undian penting berkaitan Belanjawan 2027.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, Ahli Parlimen terbabit turut bersetuju menyokong kerajaan dalam undian penting di Parlimen, termasuk Belanjawan 2027, usul undi keyakinan dan reformasi institusi.
Bagaimanapun, katanya, persetujuan itu tidak menghalang mereka daripada menyuarakan perbezaan pandangan atau mengkritik dasar kerajaan.
"Mereka masih pembangkang, masih boleh kritik kerajaan dan masih boleh semak dan imbang.
"Bukan kena sokong semua perkara. Jadi, tak semestinya bila berbeza parti, semua perkara kita kena bergaduh.
"Kita boleh berbeza pandangan dalam politik, tapi bila melibatkan kepentingan rakyat, kita mesti boleh bekerjasama," katanya.