Hebron terjerat politik kotor Israel

Iklan
Kempen perobohan giat dilakukan ke atas struktur milik penduduk Palestin.

RAMALLAH – Hebron yang merupakan bandar terbesar di Tebing Barat secara tiba-tiba terheret ke tengah-tengah kancah Pilihan Raya Israel.

Ia menjadi medan ujian untuk membuktikan keupayaan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dalam aspek keselamatan menjelang pengundian pada Selasa lalu.

Iklan
Iklan

Serangan terhadap sebuah pos pemeriksaan tentera yang menyebabkan dua askar Zionis terbunuh sengaja dijadikan modal politik pemimpin ‘ekstremis’ tersebut.

Rejim Zionis sewenang-wenangnya merampas kediaman penduduk Palestin yang kini dijadikan pos dan berek tentera.

Iklan

Netanyahu bersama Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich mengambil peluang daripada kejadian itu membuat pecutan terakhir untuk kempen pilihan raya selepas gabungan haluan kanan pimpinannya ketinggalan tipis di belakang blok pembangkang diterajui pencabar utamanya, Gadi Eisenkot.

Kedua-duanya berikrar untuk melancarkan kempen agresif seperti dilaksanakan di barat Tebing Barat pada tahun lalu. Netanyahu turut memberi amaran bahawa operasi ketenteraan besar-besaran akan dilancarkan dalam masa terdekat pada skala yang tidak pernah disaksikan di wilayah diduduki itu sejak hampir enam dekad lalu.

Iklan

Dalam tempoh beberapa jam, seluruh bandar yang dihuni kira-kira 250,000 penduduk Palestin dikenakan lockdown. Kawasan kejiranan Farsh al-Hawa yang paling hampir dengan lokasi serangan pula menjadi sasaran kempen perobohan berskala besar.

Hebron kini terputus dengan dunia luar akibat pelaksanaan sekatan ketat.

Imam masjid di kawasan kejiranan itu, Fahed Ahmaro menceritakan bagaimana beliau terjaga daripada lenanya pada waktu tengah malam selepas terdengar pengumuman melalui pembesar suara kenderaan peronda tentera Israel.

Menurutnya, penduduk Palestin diarahkan supaya segera meninggalkan rumah masing-masing atas alasan keselamatan.

Ketika itu, seramai 30 ahli keluarga Ahmaro tinggal di bawah satu bumbung. Dalam keadaan kelam-kabut, beliau segera membawa ibunya yang uzur bersama beberapa orang cucunya berpindah ke rumah anak perempuannya di bahagian lain bandar tersebut.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) kini mengepung beberapa kawasan kejiranan Palestin di bandar tersebut.

Ahmaro cuba kembali ke rumah untuk menyelamatkan barangan penting miliknya, namun hasrat itu terbantut selepas menerima panggilan telefon daripada jirannya.

“Jiran saya memaklumkan tentera Israel telah meletupkan pintu pagar rumah saya dan memusnahkan perabot di dalamnya,” katanya dalam nada hiba.

Fahed Ahmaro hanya mampu melihat kawasan kejiranannya dari jauh setelah dipaksa berpindah pada minggu lalu.

Dalam kejadian berasingan, seorang pemandu lori penghantaran, Wasam Sadi turut menjadi mangsa serangan sekumpulan pelampau Yahudi di sebuah persimpangan ketika bandar Hebron terus dikepung tentera Israel.

“Ia jelas merupakan satu bentuk hukuman kolektif. Mereka mengusir penduduk Palestin malah menghalang pihak media daripada memasuki kawasan tersebut kerana mahu menyembunyikan keadaan sebenar yang sedang berlaku.

“Netanyahu dan sekutunya sudah mengatur rancangan jahat untuk melancarkan langkah pemindahan paksa penduduk Palestin. Sekatan ketat ini hanyalah untuk memenuhi agenda politik mereka,” tegas Datuk Bandar Hebron, Yousef al-Jabari.

Seorang lelaki terpaksa menghulurkan bungkusan melalui bawah pagar di pos pemeriksaan setelah laluan ke Hebron disekat.

Kepungan haram yang berlarutan selama seminggu telah menyebabkan lebih 3,000 penduduk Palestin hilang tempat tinggal manakala beberapa buah rumah penduduk Palestin telah diambil alih dan dijadikan pos dan berek tentera. - SUMBER: AFP/Agensi