JAKARTA – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mendakwa terdapat kumpulan tertentu di negara itu yang mahu mencetuskan perpecahan, selain menggantikan ideologi Pancasila dengan fahaman lain.
Beliau mengingatkan semua pihak supaya berwaspada terhadap ancaman berkenaan, namun menegaskan Indonesia mempunyai kekuatan untuk mempertahankan perpaduan dan keutuhan negara.
“Ada kumpulan-kumpulan di Indonesia yang mahu negara kita berpecah. Tetapi percayalah, kekuatan Negara Kesatuan Republik Indonesia (NKRI) sangat besar.
“Kita sedang berwaspada dan akan menangani semua masalah itu dengan baik,” katanya ketika merasmikan Sekolah Menengah Atas (SMA) Taruna Nusantara Kampus Cimahi di Jawa Barat pada Jumaat.
Menurut laporan Kompas.com, Prabowo mendakwa kumpulan berkenaan tidak menerima Pancasila sebagai asas negara, sebaliknya mahu memperkenalkan ideologi yang berbeza.
Katanya, terdapat pihak yang mahu menubuhkan negara berasaskan agama, etnik atau kaum tertentu sehingga berpotensi mengancam perpaduan masyarakat.
“Ada yang mahu menubuhkan negara agama, ada yang mahu menubuhkan negara berdasarkan etnik dan ada yang mahu menubuhkan negara berdasarkan kaum.
“Semua ini menjadi punca perpecahan,” katanya.
Prabowo turut menjadikan peperangan dan pertikaian di beberapa negara sebagai contoh kesan buruk perpecahan terhadap masyarakat.
Menurutnya, kegagalan pemimpin mengesan dan menangani ancaman perpecahan boleh membawa kepada konflik yang meragut nyawa orang awam, termasuk wanita serta kanak-kanak.
Sehubungan itu, beliau menggesa institusi pendidikan terus menerapkan nilai Pancasila dan semangat kebangsaan dalam kalangan generasi muda.
Prabowo turut memberi amaran kepada pihak yang tidak setia kepada Pancasila dan NKRI, selain individu yang didakwanya mempunyai sikap tamak serta mahu merompak kekayaan negara.
“Saya ingatkan mereka yang tidak setia kepada Pancasila, tidak setia kepada NKRI atau mereka yang tamak dan bermentaliti mafia, yang matlamatnya merompak kekayaan negara, pasti akan gagal.
“Itulah pengajaran daripada sejarah peradaban manusia selama ribuan tahun. Mereka yang melakukan kejahatan pasti akan kalah,” tegasnya.
Beliau menegaskan bahawa semangat patriotisme, integriti dan kesetiaan kepada negara perlu terus diperkukuh bagi memastikan Indonesia tidak terjerumus dalam konflik serta perpecahan. - Agensi