NEW DELHI – Seorang pemimpin agama Yahudi berketurunan Israel-Amerika Syarikat, Rabbi Yossi Mizrachi mencetuskan kontroversi selepas rakaman video yang memaparkan kenyataannya mempersendakan kepercayaan masyarakat Hindu tular di media sosial.
Menurut India Today, Mizrachi atau nama sebenarnya Yosef Mizrachi didakwa mengeluarkan kenyataan menghina masyarakat India, khususnya berhubung penghormatan terhadap lembu dalam tradisi agama Hindu.
Dalam rakaman tersebut, beliau membuat dakwaan bahawa sesetengah penganut Hindu meminum air kencing lembu, selain mempersendakan golongan profesional perubatan di India.
Beliau turut menyindir keadaan lalu lintas di New Delhi dengan mendakwa kehadiran lembu di jalan raya menyebabkan kesesakan kerana haiwan berkenaan tidak dialihkan.
Kenyataan itu mengundang kecaman pengguna media sosial dari India dan Israel yang menyifatkannya sebagai penghinaan terhadap kepercayaan agama serta budaya masyarakat India.
Penyelidik Israel, Yeshaya Rosenman turut mengkritik Mizrachi dengan mendakwa kenyataan berkenaan boleh menjejaskan reputasi Israel di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Duta Palestin ke India, Abdullah M Abu Shawesh mengecam perbuatan menghina kepercayaan agama menerusi hantaran di platform X, tanpa menamakan Mizrachi secara khusus.
Beliau menegaskan bahawa sikap menghormati semua agama penting dalam memastikan keharmonian dan keamanan masyarakat.
Mizrachi yang berpangkalan di Amerika Syarikat sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi menerusi beberapa kenyataannya mengenai agama dan kumpulan masyarakat tertentu.
Setakat laporan diterbitkan, belum ada maklum balas rasmi daripada Mizrachi berhubung kecaman terbaharu itu. - Agensi