SHAH ALAM - Kesedaran mengenai tanggungjawab bersama perlu dipupuk dalam kalangan penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi membolehkan komuniti berganding bahu menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Pengarah Program Kita-untuk-Kita (K2K), Think City, Dr Shahridan Faiez berkata, ketika program berkenaan mula dilaksanakan di perumahan awam, pihaknya mendapati hubungan persaudaraan dan kesepaduan sosial dalam kalangan komuniti berada pada tahap rendah.
Beliau berkata, pihaknya turut mengenal pasti fenomena penduduk berpuak-puak sehingga menyebabkan perselisihan antara kumpulan berbeza, sekali gus menjadi kekangan kepada usaha komuniti melaksanakan inisiatif baharu untuk mengatasi masalah mereka.
Menurutnya, pendekatan yang diambil adalah membawa penduduk bersama-sama dan meningkatkan kesedaran bahawa masalah dihadapi sebenarnya merupakan masalah bersama tanpa mengira kumpulan atau puak.
"Anak anda akan terkesan ataupun kehidupan anda akan terkesan dan sebagainya.
"Apabila ada kesedaran bahawa kita menghadapi perkara ini bersama-sama, satu perubahan penting berlaku apabila warga perumahan awam mula mengambil pendekatan positif untuk bersama-sama meningkatkan ukhuwah dan mengeratkan silaturahim," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan penonton pada Wacana Rakyat Sinar Harian ke-491 bertajuk Rumah Ada, Komuniti Hilang? Menilai Semula Hala Tuju Perumahan Awam, di Studio F, Karangkraf, pada Jumaat.
Wacana berkenaan dikendalikan moderator, Ismail Adnan, dengan menampilkan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Ir Ts Zahir Hassan; Penolong Profesor Jabatan Sosiologi dan Antropologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Sharifah Fatimah Alzahrah Syed Hussein; serta Shahridan sebagai panelis.
Mengulas lanjut, Shahridan berkata, aktiviti bersama yang membolehkan penduduk bekerjasama menyelesaikan masalah komuniti juga perlu dilaksanakan.
Menurutnya, apabila sesuatu masalah berjaya diselesaikan menerusi usaha bersama, keyakinan penduduk terhadap keupayaan mereka sebagai sebuah komuniti akan meningkat.
Beliau mengambil contoh transformasi lobi lif di PPR Kampung Baru Hicom yang bukan sahaja menjadikan ruang berkenaan lebih menarik, malah membantu mengatasi masalah sampah dibuang dari kawasan berkenaan dan isu keselamatan.
"Perubahan itu turut mendorong lebih banyak aktiviti dilakukan dalam kalangan jiran, sekali gus menggalakkan hubungan sosial yang lebih erat," tambahnya.