Penduduk PPR sibuk cari rezeki, program komuniti kurang sambutan

Iklan
Zahir (kanan) antara tiga panel dalam Wacana Sinar Harian Edisi 491 bertajuk Rumah Ada, Komuniti Hilang?: Menilai Semula Hala Tuju Perumahan Awam di Karangkraf pada Jumaat.

SHAH ALAM - Usaha menggerakkan komuniti di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) tidak seharusnya hanya bergantung pada penganjuran program, sebaliknya perlu mengambil kira kekangan kehidupan penduduk yang mungkin menyebabkan mereka kurang memberikan sambutan.

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi sambutan terhadap program pemeriksaan kesihatan percuma yang dianjurkan di kawasan PPR, namun jumlah penduduk yang hadir masih rendah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemeriksaan berkenaan merangkumi pelbagai aspek kesihatan termasuk tekanan darah tinggi, kencing manis, kolesterol serta pemeriksaan khusus untuk lelaki dan wanita.

"Kita buat betul-betul di tengah-tengah, dikelilingi beberapa blok tinggi.

Iklan

"Kita lihat peratusan yang datang. Rasa saya turun tangga saja ataupun turun lif saja pun tak turun. Ada masalah asas yang perlu kita fahami dan tangani," katanya dalam Wacana Sinar Harian Edisi 491 bertajuk Rumah Ada, Komuniti Hilang?: Menilai Semula Hala Tuju Perumahan Awam, di Karangkraf pada Jumaat.

Beliau berkata, antara kemungkinan yang perlu diteliti ialah rutin harian penduduk yang sibuk bekerja sehingga menyebabkan mereka keletihan dan memerlukan masa untuk berehat.

Iklan

"Jadi, kehidupan itu memang meletihkan. Kalau kita buat program hujung minggu, mungkin mereka nak berehat, tetapi perkara itu perlu dibuat kajian," katanya.

Zahir berkata, pemberian insentif kepada penduduk yang menyertai aktiviti komuniti boleh menjadi salah satu kaedah untuk menggalakkan penyertaan, namun pendekatan yang lebih menyeluruh perlu dirangka berdasarkan keperluan sebenar masyarakat setempat.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar penduduk PPR diberi peluang untuk terlibat secara langsung dalam kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan kawasan kediaman, berbanding hanya mendapatkan khidmat kontraktor luar.

"Kalau JMB (Badan Pengurusan Bersama) nak cari kontraktor, tak payahlah cari kontraktor. Ambillah mereka yang tinggal di situ untuk bekerja membersihkan kawasan berkenaan.

"Dia tinggal di situ, tak perlu pergi jauh untuk bekerja. Dia boleh bekerja, dapat upah dan pada masa sama berpeluang mengenali jiran serta penduduk lain," katanya.

Menurutnya, pendekatan itu bukan sahaja dapat menyediakan peluang pendapatan kepada penduduk, malah memberi ruang kepada mereka untuk berinteraksi dan mengenali jiran di kawasan kediaman sendiri.

Bagaimanapun, beliau berkata, pelaksanaan pendekatan berkenaan memerlukan persetujuan dan kerjasama penduduk supaya tidak menimbulkan pertikaian dalam kalangan komuniti setempat.