SHAH ALAM - Pembangunan perumahan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pembinaan dan penjualan unit kediaman, sebaliknya perlu mengambil kira keperluan penduduk untuk membina kehidupan dalam persekitaran yang selesa.
Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan berkata, pihak yang membangunkan kawasan perumahan perlu memahami bahawa pembeli bukan sekadar mendapatkan sebuah unit rumah, tetapi turut mengharapkan kemudahan dan persekitaran yang membolehkan mereka menjalani kehidupan dengan baik.
"Seseorang yang membeli rumah bukan beli unit rumah itu semata-mata. Dia sebenarnya membeli tempat untuk membina kehidupan.
"Jadi, pihak yang menyediakan rumah perlu mengambil kira hakikat bahawa mereka bukan sekadar menjual unit kediaman, tetapi menyediakan tempat untuk orang yang membeli dan tinggal di situ membina kehidupan mereka," katanya dalam Wacana Sinar Harian Edisi 491, Rumah Ada, Komuniti Hilang?: Menilai Semula Hala Tuju Perumahan Awam di Karangkraf di sini pada Jumaat.
Menurutnya, perkara itu perlu diberikan perhatian kerana terdapat pembangunan perumahan yang tidak mengambil kira perubahan keperluan penduduk selepas kediaman disiapkan dan diduduki.
Beliau berkata, keadaan itu merupakan antara kesan perancangan perumahan terdahulu yang masih diwarisi sehingga kini, khususnya berkaitan penyediaan tempat letak kereta.
Menurutnya, sebagai contoh sekitar era 1980-an, syarat yang ditetapkan kepada pemaju bagi pembinaan rumah kos rendah ialah menyediakan satu lot parkir bagi setiap empat unit kediaman.
Beliau memberikan contoh sebuah PPA di Wangsa Maju yang mempunyai 272 unit kediaman, namun hanya menyediakan 45 petak tempat letak kereta ketika dibina.
"Apabila keadaan berubah, unit rumah masih kekal 272, tetapi petak parkir masih 45.
"Orang yang tinggal di situ, anak-anak membesar dan ekonomi pun meningkat, ada kereta. Kadang-kadang satu unit ada dua kereta," katanya.
Zahir berkata, keadaan itu menyebabkan kawasan berkenaan sesak kerana penyediaan parkir tidak lagi mencukupi untuk menampung keperluan penghuni.
Katanya, masalah kekurangan tempat letak kereta bukan hanya berlaku di Wangsa Maju, malah menjadi isu di Kuala Lumpur secara umumnya sehingga ada penduduk terpaksa meletakkan kenderaan di pinggir jalan sehingga mengganggu kelancaran trafik.
Dalam pada itu, beliau berkata, perubahan komposisi penduduk turut menjadi antara perkara yang perlu diberikan perhatian termasuk pemilik unit kediaman kos rendah menyewakan rumah mereka kepada pihak lain, termasuk warga asing.
Menurutnya, kehadiran ramai penyewa warga asing yang membawa budaya berbeza menyebabkan komposisi komuniti setempat berubah dan mewujudkan cabaran kepada penduduk tempatan.