SHAH ALAM - Kawasan awam di Projek Perumahan Rakyat (PPR) perlu diberi perhatian dari aspek keselamatan dan kesesuaian penggunaannya bagi memastikan kanak-kanak dapat menjalankan aktiviti sosial dalam persekitaran yang kondusif.
Pengarah Program Kita-untuk-Kita (K2K), Think City, Dr Shahridan Faiez berkata, isu keselamatan antara perkara utama dikenal pasti menerusi kajian From Roof to Resilience yang dijalankan di 10 perumahan awam di Lembah Klang.
Beliau berkata, menerusi satu latihan pemetaan kognitif membabitkan kanak-kanak berusia 10 tahun, pihaknya mendapati kawasan awam seperti taman permainan dan dewan orang ramai dianggap sebagai kawasan tidak selamat.
Menurutnya, penemuan itu mengejutkan kerana keadaan berkenaan turut mempengaruhi keputusan ibu bapa, khususnya yang mempunyai anak perempuan, untuk tidak menggalakkan mereka turun bermain di kawasan bawah perumahan.
"Ini satu contoh bagaimana isu keselamatan memberi implikasi jangka panjang kepada warga PPR kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan penonton hanya mahu dikenali sebagai Hatta, penggerak komuniti dari PPR Kampung Baru Hicom, pada Wacana Rakyat Sinar Harian ke-491 bertajuk Rumah Ada, Komuniti Hilang? Menilai Semula Hala Tuju Perumahan Awam, di Studio F, Karangkraf, pada Jumaat.
Wacana itu dikendalikan moderator, Ismail Adnan, dengan menampilkan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Ir Ts Zahir Hassan; Penolong Profesor Jabatan Sosiologi dan Antropologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Sharifah Fatimah Alzahrah Syed Hussein; serta Shahridan sebagai panelis.
Mengulas langkah mengatasi isu berkenaan, Shahridan berkata, PPR Kampung Baru Hicom sendiri menunjukkan contoh bagaimana komuniti boleh bergabung, menyusun kekuatan dan membina kapasiti baharu untuk melaksanakan transformasi.
Menurutnya, menerusi program K2K, Think City berusaha membentuk platform yang membolehkan pemimpin komuniti PPR berkumpul, melihat isu berdasarkan perspektif bersama dan mencapai kesepakatan dalam mencari penyelesaian.
"Antara kejayaan yang dilaksanakan di PPR Kampung Baru Hicom ialah program transformasi lobi lif yang mengubah fungsi ruang berkenaan daripada sekadar kawasan transit kepada ruang sosial baharu penduduk," katanya.
Beliau berkata, sebelum ini lobi lif hanya menjadi laluan penduduk pulang dari tempat kerja untuk terus menuju ke rumah masing-masing.
Bagaimanapun, menerusi aktiviti forum komuniti, ruang itu kini diceriakan dan dimanfaatkan untuk pelbagai kegiatan sosial.
"Di lobi lif ini sekarang macam-macam aktiviti sosial berlaku, daripada anak-anak membuat kerja sekolah, kelas mengaji, malah ada satu sesi pernikahan pun pernah berlaku," katanya.
Shahridan berkata, perkembangan itu amat menggembirakan pihaknya kerana menunjukkan komuniti PPR mampu melaksanakan perubahan apabila mempunyai ruang dan proses untuk bekerjasama.
Menurutnya, sebelum ini hubungan persaudaraan dalam kalangan penduduk PPR tidak begitu erat, sekali gus menjadi kekangan kepada usaha menggerakkan dan menyusun komuniti bagi mengatasi masalah yang dihadapi.
Dalam sesi sama, Hatta yang juga seorang penggerak komuniti turut membangkitkan keletihan emosi dan kelesuan yang dialami penggerak komuniti kerana perlu berhadapan dengan pelbagai sikap penduduk serta memikirkan masalah orang lain demi memastikan program komuniti terus berjalan.
Beliau turut mempersoalkan mekanisme atau cadangan yang boleh dibawa ke peringkat lebih tinggi bagi memastikan kesinambungan kepimpinan komuniti, terutama apabila penggerak sedia ada tidak lagi mampu meneruskan tanggungjawab berkenaan.