SHAH ALAM - Tunggakan sewa perumahan awam yang tinggi tidak seharusnya dikaitkan semata-mata dengan mentaliti atau sikap penduduk yang enggan membayar sewa, sebaliknya menjadi petunjuk kepada masalah sistem pengurusan dan tadbir urus perumahan awam.
Pengarah Program Kita-untuk-Kita (K2K), Think City, Dr Shahridan Faiez berkata, isu mentaliti atau sikap penduduk sering digunakan sebagai penjelasan mudah oleh pegawai, pentadbir dan pengurus perumahan awam, mungkin disebabkan rasa kecewa mereka terhadap keadaan itu.
Bagaimanapun, beliau berkata, tunggakan sewa yang tinggi sebenarnya menggambarkan wujudnya masalah dalam sistem pengurusan dan tadbir urus perumahan awam.
Menurutnya, penduduk yang tinggal di perumahan awam mempunyai tanggungjawab serta hubungan dengan sistem pengurusan, termasuk jangkaan bahawa bayaran sewa bulanan membolehkan mereka menikmati kemudahan tertentu.
"Apabila ada tanggapan bahawa kemudahan yang diharapkan ini tidak datang, maka keinginan saya untuk terus membayar sewa ini menjadi isu atau tanda tanya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Wacana Rakyat Sinar Harian ke-491 bertajuk Rumah Ada, Komuniti Hilang? Menilai Semula Hala Tuju Perumahan Awam, yang berlangsung di Studio F, Karangkraf, pada Jumaat.
Wacana berkenaan dikendalikan moderator, Ismail Adnan, dengan turut menampilkan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Ir Ts Zahir Hassan dan Penolong Profesor Jabatan Sosiologi dan Antropologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Sharifah Fatimah Alzahrah Syed Hussein sebagai panelis.
Mengulas lanjut, Shahridan berkata, perkara itu berkait rapat dengan isu lebih besar, iaitu daya huni kehidupan di perumahan awam.
Beliau turut memaklumkan Think City baru-baru ini melancarkan laporan bertajuk From Roof to Resilience berdasarkan kajian di 10 perumahan awam di Lembah Klang.
"Hasil kajian itu menunjukkan komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) berdepan kehidupan yang amat terdesak berikutan pelbagai isu dan cabaran yang kompleks serta saling berkait," katanya.
Beliau menggambarkan keadaan itu sebagai 'they live in a pressure cooker', iaitu kehidupan dalam tekanan akibat pelbagai cabaran yang dihadapi penduduk.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan orang ramai mendapatkan laporan berkenaan menerusi laman web Think City untuk mengetahui hasil kajian tersebut.
Shahridan berkata, isu yang sering dibangkitkan berkaitan mentaliti atau sikap penduduk perumahan awam sebenarnya turut dibentuk oleh ekosistem perumahan awam itu sendiri.
Menurutnya, ekosistem yang kurang sihat, termasuk keadaan kehidupan yang menyukarkan penduduk untuk menikmati kehidupan bermaruah, boleh memberi implikasi terhadap sikap dan mentaliti mereka.