Soalan
Kebelakangan ini timbul isu New Age Movement (NAM) dalam kalangan masyarakat yang didakwa boleh memesongkan akidah umat Islam. Apakah ciri-ciri gerakan ini?
Jawapan
Benar, gerakan NAM ini sudah mula masuk ke dalam masyarakat terutamanya umat Islam yang sebahagiannya mempunyai profesion kerjaya yang baik.
Salah satu daripada prinsip utama NAM ialah spiritual but not religious iaitu spiritual tanpa agama.
Golongan ini menolak struktur agama tradisional dan menekankan spiritual seseorang itu secara bebas.
Antara ciri-ciri NAM ialah:
1 - Tidak terikat dengan kitab suci tertentu.
2 - Tidak memerlukan institusi agama.
3 - Tidak memerlukan nabi atau wahyu.
4 - Individu bebas membentuk kepercayaan sendiri.
Bagi golongan NAM ini, antara slogan yang dilaungkan ialah tidak ada agama yang lebih tinggi daripada kebenaran.
Ujarnya lagi, konsep tuhan dalam fahaman mereka ialah tenaga kosmik, kesedaran universal dan divine energy dalam alam semesta ini.
Bagi gerakan ini juga, mereka menekankan bahawa manusia mempunyai percikan ketuhanan dalam diri dan wujudnya roh atau tenaga kosmik dalam diri masing-masing.
ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi ALLAH ialah Islam.” (Surah Ali Imran: 19)
DIA juga berfirman: “Dan sesiapa yang mencari agama selain Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan dia pada hari akhirat kelak dalam kalangan orang-orang yang rugi.” (Surah Ali Imran: 85)
Tidak salah untuk menyertai kursus motivasi, membangkitkan semangat diri, kaedah tarik rezeki atau self improvement, namun perlu berhati-hati dengan amalan spiritual seperti terapi warna, aura, gelombang bunyi, meditasi dan yoga.
Jangan mudah terpedaya dengan orang yang menggelarkan diri mereka ustaz atau ustazah dan rujuk pada pakar atau jabatan agama sebelum menerima sesuatu amalan atau ajaran.