Soalan
Ketika pernikahan Syed Saddiq dan Bella Astillah baru-baru ini, saya lihat jurunikah yang memimpin doa ketika itu, Datuk Seri Dr Zulkifli Al-Bakri menadah tangan. Namun, dia kemudiannya membalikkan tangannya. Mengapakah beliau berbuat demikian?
Jawapan
Membalikkan tangan ketika berdoa bukanlah perkara yang pelik dan ia bukan dilakukan secara sembarangan, sebaliknya perbuatan tersebut mempunyai sandaran daripada sunnah Rasulullah SAW, khususnya ketika memohon perlindungan kepada ALLAH SWT daripada bala, penyakit dan musibah.
Menurut Dr Zulkifli, ketika memimpin bacaan doa pada majlis tersebut, terdapat beberapa bahagian doa yang khusus memohon agar pasangan pengantin dilindungi daripada perkara-perkara buruk.
Ia berdasarkan sepotong hadis yang diriwayatkan Anas bin Malik RA, beliau berkata: “Sesungguhnya Nabi SAW memohon hujan, baginda mengisyaratkan ke arah langit dengan belakang kedua-dua tapak tangannya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Imam An-Nawawi dalam kitab Syarah Sahih Muslim menjelaskan sebahagian ulama berpandangan sunat membalikkan tapak tangan ketika berdoa memohon agar bala diangkat.
Maka, tindakan beliau membalikkan tangan ketika membacakan doa agar dijauhkan daripada keburukan itu disandarkan kepada hadis Rasulullah SAW.