DALAM dunia yang semakin mencabar kini, pendidikan anak-anak tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada sekolah semata-mata, sebaliknya perlu bermula dari rumah menerusi pembinaan akhlak, pengukuhan ilmu dan bimbingan ibu bapa.
Naib Canselor Universiti Islam Selangor, Profesor Datuk Dr Mohd Farid Ravi Abdullah menjelaskan, ibu bapa sepatutnya memainkan peranan lebih besar dalam membentuk pemikiran anak-anak, khususnya ketika mereka terdedah kepada pelbagai maklumat dan pengaruh melalui media sosial dan laman sesawang.
Ujarnya, tanpa pemantauan dan didikan yang berterusan, anak-anak mudah terpengaruh dengan pemikiran yang bercanggah dengan nilai agama, malah berani mempersoalkan ilmu serta pandangan golongan berautoriti tanpa kefahaman yang mencukupi.
“Oleh sebab itu, ibu bapa perlu melihat semula cara mendidik anak-anak dan membina persekitaran yang baik untuk mereka.
Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel pada forum bertajuk Remaja di persimpangan hidup: Cabaran semasa dan penyelesaiannya berpandukan teladan Rasulullah SAW sempena Persidangan Mawlid 6.0 anjuran Pertubuhan India Muslim Malaysia (Permim) di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ilmu asas bina kekuatan diri
Mengulas mengenai kepentingan pendidikan, Dr Mohd Farid Ravi menegaskan bahawa ilmu merupakan asas penting untuk membina kekuatan diri, meningkatkan kedudukan masyarakat dan mengelakkan seseorang terus ketinggalan.
Beliau turut menyentuh keperluan meningkatkan kesedaran terhadap pendidikan dalam kalangan masyarakat supaya mereka mempunyai dorongan untuk melangkah lebih jauh dalam bidang akademik.
Ujarnya, setiap individu perlu mempunyai kelebihan tersendiri sama ada melalui penguasaan ilmu, kemahiran profesional mahupun kekuatan ekonomi.
“Formula untuk membina empayar ialah kita tidak sekadar melakukan perkara yang orang lain buat, tetapi berusaha melakukan sesuatu yang orang lain tidak buat. Dari situ, kita akan mempunyai keunikan dan bidang tersendiri,” jelasnya.
Beliau berkata, kejayaan tidak semestinya diukur melalui pencapaian akademik semata-mata, namun setiap individu perlu membina kemahiran dan kepakaran yang membolehkannya menyumbang kepada masyarakat.
Perjalanan panjang memahami Islam
Berkongsi pengalaman peribadi, ahli akademik itu berkata, beliau memeluk Islam ketika berusia 18 tahun dan berhadapan pelbagai cabaran untuk mempelajari asas agama, termasuk membaca al-Quran, mengenali tulisan Jawi, menunaikan solat serta memahami cara hidup sebagai seorang Muslim yang benar.
Menurutnya, pada peringkat awal, beliau berusaha mencari guru yang boleh mengajarnya membaca al-Quran. Namun, beberapa usaha tidak membuahkan hasil apabila ada yang menolak dengan pelbagai alasan.
Bagaimanapun, keadaan itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus belajar. Beliau kemudian memulakan pembelajaran al-Quran daripada asas, termasuk mengeja huruf demi huruf.
Usahanya tidak terhenti di situ apabila beliau turut mencari guru al-Quran di Kelantan dan Sabah bagi memperbaiki bacaannya sehingga mampu menjadi imam di masjid sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang tafsir al-Quran di Jordan pada peringkat doktor falsafah.
Ibu bapa pemimpin utama keluarga
Dalam pada itu, beliau yang mempunyai pengalaman berkhidmat dalam institusi agama di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Pahang berkata, antara cabaran besar masa kini ialah ancaman terhadap pemikiran anak-anak yang terdedah kepada pelbagai sumber maklumat tanpa bimbingan sewajarnya.
Menurutnya, ibu bapa tidak boleh hanya bergantung kepada sekolah atau guru agama untuk membentuk keperibadian anak-anak, sebaliknya perlu menjadi contoh yang baik di rumah.
“Bapa juga perlu mempunyai pengetahuan dan mampu berbincang dengan anak-anak mengenai perkara yang boleh dilakukan dan perkara yang perlu dielakkan.
Beliau turut mengingatkan bahawa pembentukan akhlak bermula di rumah dan ibu bapa perlu mewujudkan suasana yang membolehkan anak-anak bertanya, berbincang serta memahami sesuatu perkara berdasarkan panduan agama.
Menurutnya, ibu bapa perlu menetapkan batas yang jelas dalam penggunaan teknologi dan media sosial, selain memahami persekitaran pergaulan anak-anak supaya mereka tidak dibiarkan mencari jawapan sendiri tanpa panduan.
Bagi memperkukuh pendidikan keluarga, Dr Mohd Farid Ravi menyarankan ibu bapa meneliti 10 nasihat Luqman kepada anaknya seperti yang dirakamkan dalam surah Luqman.