KLANG - Sebuah pusat hiburan berkonsepkan KTV yang disyaki menawarkan peneman gadis pelayan pelanggan (GRO) dengan berselindung di sebalik bangunan pusat beli-belah 'sendu' di sini digempur pada Khamis.
Operasi kira-kira jam 11.10 malam digerakkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor hasil maklumat dan risikan selama dua minggu.
Sinar Harian yang mengikuti operasi itu mendapati, premis terletak di tingkat tujuh itu menawarkan bilik mewah dengan harga mencecah ribuan ringgit.
Semasa serbuan, satu bilik rehat dijumpai di laluan belakang yang menempatkan wanita warga asing itu dipercayai sementara menunggu tempahan pelanggan.
Seorang pekerja mendakwa, 'kapten' akan menguruskan wanita ini berdasarkan permintaan pelanggan.
"Berapa harga yang dibayar saya tak tahu, sebab harga itu kapten saja yang tahu.
"Tempat ini buka jam 8 malam sampai awal pagi. Kalau ada tempahan, wanita ini akan teman pelanggan-pelanggan berkaraoke," katanya.
Selain itu, semakan JIM juga mendapati kebanyakan gadis terbabit masuk ke dalam negara sebagai pelancong, bahkan ada yang baru tiba beberapa hari lalu, namun terjebak dengan kegiatan terbabit.
Difahamkan, terdapat tawaran tidak bermoral wanita itu dengan harga yang ditetapkan mereka.
Ketika ditanya, wanita terbabit juga berpura tidak boleh bertutur Bahasa Inggeris biar pun memahami pertanyaan yang diajukan anggota operasi.
Lebih menyulitkan, sekurangnya dua bilik kamera litar tertutup (CCTV) ditemui di premis terbabit yang memaparkan pelbagai sudut termasuk di kawasan parkir serta laluan masuk bangunan.
Sementara itu, Pemangku Pengarah Imigresen Selangor, Mohmad Khusairi Kamarudin berkata, seramai 35 orang warga asing berusia lingkungan 20 hingga 40-an ditahan membabitkan 23 lelaki dan 12 wanita.
"Tangkapan wanita terdiri daripada warga China, Thailand dan Vietnam disyaki GRO.
"Kita kesan premis ini aktif di waktu malam dan siasatan lanjut dijalankan untuk kenal pasti modus operandi mereka," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Imigresen Selangor di sini pada Jumaat.
Tegasnya, kesemua tangkapan dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63.