PETALING JAYA – Seorang penjual bateri kenderaan mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas lima pertuduhan menggunakan dokumen palsu berkaitan urusan sebuah syarikat.
Yeoh Jing Wei, 42, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret, Amira Sariaty Zainal dan Farah Azura Mohd Saad.
Mengikut semua pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan empat dokumen sebagai tulen iaitu 'change of auditors, appoinment of tax agent, allotment of shares dan appoinment of director(s)' bertarikh 29 Ogos 2025.
Dokumen terbabit ialah pertukaran juruaudit, pelantikan ejen cukai, peruntukan saham dan pelantikan pengarah syarikat.
Ia termasuk dokumen kelima, 'appoinment of Lim Kim Ming as company secretary and compliance officer' bertarikh 29 Julai 2025 yang dia mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa semua dokumen tersebut ialah palsu.
Bagi empat pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama, sementara pertuduhan bagi dokumen pertukaran juruaudit pula mengikut Seksyen 471 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 468 kanun sama.
Jika sabit kesalahan, bapa kepada tiga anak itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Syed Ahmed Khabir Abdul Rahman dan Ainul Athirah Jamalullail mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin masing-masing sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam, Arif Azmi yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan lebih rendah dengan alasan anak guamnya bekerja sebagai ahli perniagaan menjual bateri kenderaan.
"Dia menyerah diri di balai polis pada Khamis dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sejak siasatan bermula tahun lalu.
"Anak guamnya yang sudah berkahwin dan tidak mempunyai risiko melarikan diri," katanya.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan sebutan semula kes pada 15 Disember depan.