Minuman keras, rokok seludup antara 1,805 barang kes dilupuskan

Iklan
IPD Hilir Perak melakukan pelupusan barangan kes yang turut melibatkan 231 botol serta tin minuman keras.

TELUK INTAN - Minuman keras dan rokok seludup menjadi antara 1,805 barang kes yang dilupuskan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM150,960.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, pelupusan itu membabitkan 1,176 karton rokok dan 231 botol serta tin minuman keras.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pelupusan turut melibatkan 340 unit rampasan bitcoin, 58 barangan am serta rangka kenderaan yang selesai prosiding perundangan dan tidak lagi diperlukan untuk tujuan siasatan atau perbicaraan mahkamah.

"Proses dilaksanakan mengikut prosedur ditetapkan di bawah Seksyen 406A Kanun Tatacara Jenayah.

Iklan

"Pelupusan barang kes ini bagi memastikan pengurusan barang kes dilaksanakan secara telus, teratur dan berintegriti," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

IPD Hilir Perak melakukan pelupusan barangan kes yang turut melibatkan 231 botol serta tin minuman keras.

Iklan

Majlis pelupusan turut disaksikan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan dan Perundangan) Kontinjen Perak serta Timbalan Pendakwa Raya Daerah Hilir Perak.

Beliau berkata, pelupusan itu juga antara lain bertujuan mengelakkan pengumpulan barang rampasan secara berlebihan yang boleh menimbulkan risiko keselamatan, selain melibatkan keperluan ruang penyimpanan dan kos penyelenggaraan.

Katanya, IPD Hilir Perak akan terus memperkukuh usaha membanteras jenayah dan meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap sistem penguatkuasaan undang-undang negara.

"Langkah ini juga sebahagian daripada usaha kita memastikan barang rampasan tidak kembali ke pasaran atau disalahgunakan," katanya.