KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah meningkat kepada 192 orang daripada 71 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 176 orang daripada 66 keluarga semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah memaklumkan semua mangsa dari Kampung Teroi Bukit dan Kampung Titi Teras di daerah Yan ditempatkan di tiga PPS.
Seramai 91 mangsa daripada 32 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Teroi, manakala 36 mangsa daripada 17 keluarga berada di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Eng.
Dewan Lestari Guar Chempedak pula menempatkan 65 mangsa daripada 22 keluarga.
Di Perlis, Dewan Batu 5 di Kangar masih dibuka sebagai pusat transit bagi menempatkan 16 mangsa banjir daripada tujuh keluarga setakat 8 pagi ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis, Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata, jumlah mangsa banjir kilat dari Kampung Telok itu kekal seperti petang semalam, dengan kawasan kediaman penduduk masih mengalami banjir termenung.
Terdahulu, Bernama melaporkan Mohd Izaimi berkata, dewan itu dibuka pada 1.50 pagi Isnin lepas, namun belum ada PPS yang dibuka secara rasmi.
Beliau berkata, APM Perlis akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa dan PPS akan dibuka secara rasmi sekiranya keadaan banjir bertambah buruk. - Bernama