BAYAN BARU – Kejadian lubang benam sedalam kira-kira dua meter di Lebuhraya Mayang Pasir di sini dipercayai berpunca daripada kebocoran paip lama milik Indah Water Konsortium (IWK).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Fahmi Zainol berkata, kejadian itu disedari kira-kira jam 3.10 petang.
Menurutnya, lubang berukuran kira-kira 9 meter x 8 meter itu berlaku dalam kawasan perumahan Taman Sri Tunas di sini.
“Punca kejadian disahkan oleh pihak JKR sebagai kebocoran paip lama IWK, malah IWK juga mengakui ia memang berpunca daripada paip lama milik mereka.
“Antara pihak yang tiba di lokasi sejurus selepas kejadian disedari ialah JKR dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Fahmi menambah, proses untuk membaik pulih lubang benam tersebut akan mengambil masa antara satu hingga dua minggu.
"Kerja baik pulih akan dilaksanakan oleh IWK pada malam ini juga.
"Jangkaan dapat disiapkan antara seminggu hingga dua minggu," ujarnya lagi.
Difahamkan, tindakan awalan telah diambil oleh JKR Pulau Pinang dengan memasang penghadang plastik berdekatan lubang benam berkenaan selain di kedua-dua arah laluan bagi menghalang pergerakan kenderaan ke kawasan terjejas.
Kawasan itu juga terpaksa ditutup sepenuhnya sebagai langkah keselamatan.
Tiada mangsa atau kerosakkan kenderaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan.