PAYMENTS Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mengumumkan pelancaran kemudahan pembayaran DuitNow QR di luar negara melalui Alipay+, gerbang pembayaran dompet digital bersepadu milik Ant International.
Menerusi kemudahan ini, rakyat Malaysia boleh menggunakan aplikasi perbankan mudah alih tempatan yang menyokong perkhidmatan berkenaan untuk membuat pembayaran di premis peniaga yang menyertai rangkaian Alipay+ di lima destinasi, iaitu China, Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong, Korea Selatan, Filipina dan Laos.
Di premis peniaga yang menyertai rangkaian Alipay+ di lima destinasi tersebut, pelanggan hanya perlu membuka fungsi pembayaran DuitNow QR dalam aplikasi perbankan mereka dan mengimbas kod QR peniaga yang memaparkan logo Alipay+.
Pelanggan kemudian boleh menyemak dan mengesahkan transaksi menerusi aplikasi sama tanpa perlu memuat turun aplikasi lain atau membuka akaun Alipay+.
Tiga bank terawal yang menawarkan kemudahan ini ialah Maybank, CIMB dan Hong Leong Bank manakala Bank Islam dijangka menyusul tidak lama lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif PayNet, Praveen Rajan berkata, pelancaran itu sebahagian pelan jangka panjang PayNet untuk memperluas ketersambungan pembayaran yang selamat dan saling boleh kendali ke luar Malaysia sekali gus selaras visi Bank Negara Malaysia, mewujudkan pembayaran rentas sempadan yang lebih pantas, cekap dan inklusif.
Menurut beliau, pembayaran rentas sempadan sepatutnya terasa seperti membuat pembayaran di Malaysia dan ketersambungan ini memudahkan rakyat Malaysia membuat pembayaran ketika berada di luar negara.
“Kerjasama antara institusi kewangan dengan rakan pembayaran global ini juga menunjukkan bagaimana kita dapat memperluas jangkauan infrastruktur pembayaran negara ke luar sempadan Malaysia.
“Dalam konteks lebih luas, ketersambungan pembayaran yang lebih kukuh dapat melancarkan perbelanjaan rentas sempadan dan mempererat hubungan ekonomi Malaysia dengan rantau ini,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sementara itu, Pengurus Besar Pusat Pertumbuhan Global Alipay+, Ant International, Danny Chung berkata, kerjasama yang semakin berkembang dengan PayNet mencerminkan komitmen bersama untuk memperluas jangkauan infrastruktur pembayaran kebangsaan Malaysia ke luar negara sekali gus memperkukuh hubungannya dengan ekonomi digital global.
“Di Alipay+, kami memperkasa sistem pembayaran kebangsaan untuk memperkukuh ketersambungan dua hala yang saling boleh kendali.
“Ini membolehkan sistem tersebut memainkan peranan yang lebih besar dalam memudahkan perjalanan dan perdagangan rentas sempadan, membuka lebih banyak peluang kepada perniagaan dan pengguna serta memacu pertumbuhan ekonomi digital yang lebih inklusif,” katanya.
Pelancaran ini merupakan kesinambungan kerjasama antara PayNet dengan Ant International melalui Alipay+.
Sejak November 2023, pelancong yang menggunakan dompet digital rakan kongsi Alipay+ yang menyokong kemudahan ini boleh membuat pembayaran di premis peniaga DuitNow QR di seluruh Malaysia.
Kemudahan ini membolehkan perniagaan tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), meraih manfaat daripada perbelanjaan pelancong antarabangsa melalui DuitNow QR, standard kod QR kebangsaan Malaysia.
Pada masa sama, usaha ini memperkukuh ekonomi pelancongan negara sepanjang Tahun Melawat Malaysia 2026–2027.
Kemudahan baharu ini turut memperluas kerjasama berkenaan dengan membolehkan pelanggan bank-bank Malaysia yang menyertai perkhidmatan ini membuat pembayaran di premis peniaga Alipay+ di luar negara.
Lima destinasi tersebut merupakan pasaran pertama yang disokong, dengan lebih banyak destinasi akan ditambah secara berperingkat.
PayNet merupakan antara sistem pembayaran kebangsaan terawal yang memperluas penerimaan pembayaran pada skala besar di peringkat global melalui Alipay+.
Ekosistem Alipay+ menghubungkan lebih dua bilion akaun pengguna melalui lebih 50 rakan pembayaran antarabangsa, dengan lebih 150 juta peniaga di lebih 210 pasaran.
Ekosistem ini turut merangkumi lebih 10 skim pembayaran kebangsaan seperti PayNet.
Peluasan ini dilaksanakan ketika aktiviti pembayaran rentas sempadan semakin meningkat. PayNet merekodkan hampir 30 juta transaksi rentas sempadan pada 2025, meningkat kira-kira 150 peratus berbanding 2024.
Transaksi yang melibatkan China menyumbang sebahagian besar daripada pertumbuhan tersebut.
Bank dan penyedia e-dompet lain yang menyertai rangkaian PayNet juga boleh menawarkan kemudahan pembayaran QR di luar negara melalui Alipay+.
Langkah ini membolehkan lebih ramai pelanggan mengakses pembayaran QR di luar negara menggunakan aplikasi sedia ada mereka.
PayNet akan terus bekerjasama dengan institusi kewangan dan rakan serantau untuk memperluas perkhidmatan ini kepada lebih banyak aplikasi dan pasaran.