Isu PATI meresahkan, tindakan tegas perlu diambil

Iklan
Sebahagian warga asing yang diperiksa pihak berkuasa dalam operasi di sekitar Kuala Lumpur.

SHAH ALAM - Isu pendatang asing tanpa izin (PATI) kembali menjadi perhatian apabila keselamatan dan ketenteraman masyarakat dibangkitkan semula.

Ia susulan kejadian sekumpulan kanak-kanak didakwa membaling batu dan melontarkan batang besi ke arah seorang wanita warga emas berusia 71 tahun di Taman Sri Rambai, Bukit Mertajam, pada 22 Oktober lalu.

Iklan
Iklan

Sebelum itu, mangsa didakwa menegur sekumpulan kanak-kanak Myanmar yang membuat bising ketika bermain di taman permainan berhampiran kediamannya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang sebelum mangsa membuat laporan polis pada Isnin.

Iklan

Kejadian ini sudah pasti menimbulkan keresahan sebahagian masyarakat mengenai isu PATI yang dianggap berlarutan sekian lama.

Walaupun sesuatu kejadian mungkin dianggap terpencil, perkara itu tidak seharusnya dipandang ringan kerana khuatir masalah akan menjadi lebih serius dan sukar dikawal.

Iklan

Oleh itu, tindakan pencegahan perlu dilaksanakan lebih awal bagi mengelakkan kejadian sama berulang atau merebak menjadi lebih besar.

Misalnya pemantauan di kawasan berisiko, kerjasama penduduk dengan pihak berkuasa dan saluran aduan yang mudah diakses juga boleh membantu membolehkan sesuatu masalah dikenal pasti serta ditangani lebih awal.

Keselamatan rakyat dan pematuhan undang-undang perlu menjadi keutamaan

Dalam masa sama kerajaan perlu mengambil tindakan lebih menyeluruh, termasuk memperketat penguatkuasaan, mempergiat operasi pengesanan dan memastikan individu yang melanggar undang-undang dikenakan tindakan sewajarnya.

Kelewatan bertindak terhadap pelanggaran undang-undang berisiko menjejaskan ketenteraman awam, sekali gus menyukarkan usaha mengawal keadaan sekiranya masalah semakin meruncing.

Akhirnya, keresahan masyarakat hanya dapat ditangani melalui penguatkuasaan yang konsisten, tindakan yang telus dan penyelesaian berasaskan undang-undang.

Rakyat berhak berasa selamat di kawasan kediaman sendiri, manakala pihak berkuasa perlu memastikan setiap aduan diberikan perhatian dan setiap kesalahan ditangani secara adil.