BUDI95 dikembalikan 300 liter: Rakyat lega, tutup ruang ketirisan

Iklan
Pemulangan semula kuota BUDI95 kepada 300 liter sebulan mulai hari ini merupakan langkah yang mampu memberi sedikit kelegaan kepada rakyat. Foto hiasan

SHAH ALAM – Pemulangan semula kuota BUDI95 kepada 300 liter sebulan mulai hari ini merupakan langkah yang mampu memberi sedikit kelegaan kepada rakyat, khususnya golongan yang bergantung kepada kenderaan persendirian untuk urusan harian.

Apatah lagi mereka yang berulang-alik jauh ke tempat kerja atau menjalankan urusan keluarga.

Iklan
Iklan

Walaupun kelihatan seperti peningkatan biasa, tambahan kuota itu pastinya memberi makna besar kepada rakyat dalam keadaan kos sara hidup yang masih menjadi kebimbangan utama.

Lebih-lebih lagi, petrol merupakan antara komponen penting dalam perbelanjaan harian kerana kenaikan atau pengurangan penggunaannya secara langsung memberi kesan kepada peruntukan kewangan keluarga.

Iklan

Justeru, pengembalian kuota 300 liter wajar dilihat sebagai usaha kerajaan memastikan rakyat yang layak terus mendapat manfaat daripada subsidi petrol yang disediakan.

Namun, pada masa sama, peningkatan kuota itu perlu disertai kesedaran bahawa subsidi berkenaan adalah kemudahan untuk rakyat, bukannya ruang untuk segelintir pihak mengambil kesempatan.

Iklan

Jangan sampai ada individu yang sengaja menggunakan kuota tersebut secara berlebihan dengan mengisi petrol ke dalam tong atau bekas besar untuk tujuan penjualan semula.

Lebih membimbangkan sekiranya petrol bersubsidi itu akhirnya dijual kepada warga asing kerana perbuatan sedemikian bukan sahaja menyalahi semangat pelaksanaan BUDI95, malah menyebabkan manfaat subsidi rakyat mengalir kepada pihak yang tidak sepatutnya.

Dalam hal ini, penguatkuasaan tidak boleh hanya bergantung kepada tindakan selepas penyalahgunaan berlaku, sebaliknya pemantauan dan mekanisme kawalan perlu diperkukuh bagi mengesan corak pembelian yang mencurigakan.

Pada masa sama, pengguna sendiri perlu memainkan peranan dengan tidak menyalahgunakan kuota 300 liter kerana tindakan segelintir pihak boleh menyebabkan keseluruhan sistem subsidi dipersoalkan.

Kerajaan juga perlu memastikan mekanisme BUDI95 terus telus dan berkesan supaya rakyat yang benar-benar memerlukan bantuan tidak terkesan akibat tindakan pihak yang cuba mengambil kesempatan.

Akhirnya, pemulangan kuota 300 liter BUDI95 sepatutnya menjadi berita baik kepada rakyat, namun manfaat itu hanya akan benar-benar dirasai sekiranya subsidi berkenaan dilindungi daripada ketirisan dan penyalahgunaan.