DALAM era digital, peluang pekerjaan boleh dicari hanya di hujung jari. Namun, kemudahan itu turut dimanfaatkan sindiket penipuan tawaran kerja sambilan (job scam) bagi memperdaya mangsa.
Penipuan tawaran pekerjaan sambilan bukanlah isu baharu, namun taktik yang digunakan semakin licik.
Sindiket lazimnya menawarkan pekerjaan yang kononnya mudah dilakukan, tidak memerlukan pengalaman serta menjanjikan pendapatan lumayan dalam tempoh singkat. Tawaran biasanya disebarkan menerusi aplikasi pesanan ringkas, media sosial, laman sesawang pekerjaan dan iklan dalam talian.
Mangsa sering tertarik dengan janji gaji yang tinggi dan syarat kerja yang terlalu mudah. Ada yang ditawarkan pekerjaan sambilan dari rumah dengan pendapatan ratusan ringgit sehari hanya memberi ulasan produk atau menekan pautan tertentu. Bagi individu yang sedang mencari pekerjaan sambilan atau memerlukan pendapatan tambahan, tawaran seperti itu dilihat amat menarik dan sukar ditolak.
Sindiket kebiasaannya akan meminta mangsa menyertai kumpulan aplikasi sembang sebelum diberikan tugasan mudah. Pada peringkat awal, mangsa mungkin menerima bayaran kecil seperti yang dijanjikan bagi meyakinkan mereka bahawa pekerjaan tersebut adalah sah.
Selepas kepercayaan diperoleh, mangsa akan diminta membuat pembayaran tertentu kononnya sebagai modal pelaburan, yuran pendaftaran atau deposit untuk mendapatkan komisen yang lebih tinggi.
Di sinilah perangkap sebenar bermula. Mangsa yang telah memperoleh sedikit keuntungan pada peringkat awal akan terdorong untuk memasukkan wang dalam jumlah yang lebih besar.
Apabila pembayaran dibuat, sindiket terus mencipta pelbagai alasan seperti sistem tergendala, akaun dibekukan atau mangsa perlu membuat pembayaran tambahan untuk mengeluarkan keuntungan. Akhirnya, wang yang dijanjikan tidak pernah diterima dan suspek menghilangkan diri.
Antara kes yang pernah dilaporkan membabitkan seorang penjawat awam yang kerugian RM55,334 selepas terpedaya dengan tawaran kerja sambilan tidak wujud menerusi media sosial.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor dilaporkan berkata, mangsa wanita berusia 33 tahun itu menyedari dirinya diperdaya selepas gagal mengeluarkan wang keuntungan yang dijanjikan daripada akaun digitalnya.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, sindiket dikesan aktif memperdaya mangsa dengan menawarkan pekerjaan sambilan mudah melalui platform digital seperti media sosial serta aplikasi mesej.
Menurutnya, mangsa biasanya dijanjikan kerja mudah seperti like dan follow di media sosial dengan pulangan komisen yang tinggi, namun ia sebenarnya perangkap.
Selain itu tindakan meminta bayaran bagi tujuan pendaftaran, latihan, deposit atau pembelian peralatan sebelum bekerja adalah ciri-ciri jelas penipuan kerana syarikat sah tidak akan berbuat demikian.
Orang ramai perlu lebih berwaspada dengan tawaran kerja mudah tetapi menjanjikan ganjaran tinggi kerana itu merupakan antara tanda amaran utama.
Tawaran kerja yang hanya dibuat melalui aplikasi seperti WhatsApp atau Telegram oleh nombor tidak dikenali tanpa melalui saluran rasmi adalah mencurigakan.
Orang ramai juga disaran melakukan semakan latar belakang syarikat terlebih dahulu sebelum memohon sebarang pekerjaan. Maklumat peribadi sensitif seperti nombor akaun bank, salinan kad pengenalan dan kata laluan tidak wajar dikongsi dengan pihak tidak dikenali.
Sindiket biasanya akan memberikan bayaran awal dalam jumlah kecil bagi meyakinkan mangsa sebelum meminta bayaran lebih besar.
Namun selepas wang diserahkan, mangsa tidak lagi menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan.
Orang ramai dinasihatkan supaya mencari peluang pekerjaan melalui platform diiktiraf serta saluran rasmi syarikat manakala semakan akaun bank atau nombor telefon yang mencurigakan boleh dibuat menerusi portal Semak Mule.
Orang ramai juga boleh merujuk pihak polis sekiranya mempunyai sebarang keraguan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
*Ahmad Ismadi Ismail ialah wartawan Meja Jenayah Sinar Harian