ISTANBUL - Pakatan pimpinan Arab Saudi di Yemen memaklumkan pada Selasa bahawa sistem pertahanan udaranya memintas dan memusnahkan dua peluru berpandu balistik yang dilancarkan oleh Kumpulan Houthi ke arah ibu negara Arab Saudi, Riyadh, lapor Anadolu Ajansi.
Jurucakap pakatan, Mejar Jeneral Turki al-Maliki mengumumkan pemintasan itu menerusi hantaran di platform media sosial X dari Amerika Syarikat, tanpa memberikan butiran lanjut mengenai kemungkinan jumlah mereka yang cedera atau kerosakan dialami.
Terdahulu pada Selasa, pakatan itu berkata, pihaknya memintas dan memusnahkan tiga peluru berpandu balistik Houthi yang menyasarkan Wilayah Timur Arab Saudi.
Pakatan itu turut mengumumkan pemintasan dan pemusnahan empat dron yang dilancarkan oleh Houthi ke arah wilayah selatan Arab Saudi.
Pemintasan berlaku ketika permusuhan antara Kumpulan Houthi dengan pakatan pimpinan Arab Saudi yang menyokong kerajaan Yemen yang diiktiraf masyarakat antarabangsa semakin memuncak.
Arab Saudi mengetuai pakatan ketenteraan menentang Houthi sejak Mac 2015, selepas kumpulan itu menawan ibu negara Yaman, Sanaa dan beberapa kawasan lain di negara itu pada 2014. - Bernama-Anadolu