JAKARTA - Keadaan langit di Banjarbaru, Kalimantan Selatan, Indonesia masih diselubungi jerebu toksik akibat kebakaran hutan dan tanah, ketika negara jiran termasuk Malaysia mula kembali pulih daripada masalah jerebu.
Sejak empat bulan lalu, mereka terpaksa menjalankan aktiviti harian dalam keadaan udara yang dipenuhi asap tebal.
Bagi Intan, 18, seorang penduduk Banjarbaru, situasi itu terasa seperti berada dalam filem seram berjudul Silent Hill.
“Semalam hujan turun, kami sangka asap akan hilang. Sebaliknya, keadaannya masih sama,” katanya.
Jerebu semakin menebal selepas matahari terbenam manakala bau asap kian menyengat ketika mereka bersiap untuk berehat.
Menurut Intan, keadaan sebenar yang dialami penduduk jauh berbeza daripada gambaran yang dikongsikan di media sosial.
Walaupun terdapat hantaran yang menunjukkan jerebu di Kalimantan Selatan tidak begitu serius, hakikatnya penduduk di Landasan Ulin terpaksa menghirup udara yang dicemari asap setiap hari.
“Orang ramai melihat keadaan di media sosial lalu menganggap situasi tidak begitu teruk. Namun, realitinya keadaan di sini sangat teruk,” jelasnya.
Di tengah-tengah krisis jerebu, penduduk turut berdepan satu lagi masalah iaitu kekurangan bekalan air bersih.
Dodi, 58, mendakwa air yang kotor dan keruh telah menjadi masalah besar kepada penduduk.
“Ramai diserang cirit-birit,” tambahnya lagi.
Menurutnya, laporan telah dibuat kepada pihak kejiranan Syamsudin Noor sejak sebulan lalu. Namun, bekalan air bersih masih belum diterima.
Ketika kebakaran terus mengancam kawasan berkenaan, Abidin, 50, memilih untuk terus berada di barisan hadapan bagi membantu mengawal api daripada terus merebak.
Ada kalanya, dia terpaksa bermalam berhampiran kawasan operasi bagi memastikan tanah yang terbakar terus dipantau.
Abidin mengakui isterinya sering berasa risau kerana tugas sebagai sukarelawan pemadam kebakaran turut mengancam nyawanya.
Sehingga Jumaat, Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) melaporkan bahawa keluasan kawasan yang sedang ditangani akibat kebakaran di tiga wilayah Kalimantan telah mencapai 18,973 hektar.
Pemangku Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana BNPB, Berton SP Panjaitan memaklumkan, Kalimantan Tengah mencatatkan keluasan kawasan terjejas yang paling besar.
“Di Kalimantan Selatan, keluasan kawasan ialah 1,506 hektar manakala Kalimantan Barat merekodkan 1,370 hektar,” menurutnya.
Bagi menangani keadaan itu, BNPB telah mengerahkan seramai 38,772 anggota bersama 35 pesawat untuk operasi bersepadu tersebut.
Selain itu, agensi tersebut turut menjalankan operasi modifikasi cuaca di Kalimantan Tengah dengan menaburkan 5,000 kilogram (kg) ais kering dan 1,000kg natrium klorida (NaCl).
“Sasaran kawasan operasi ialah Murung Raya, Gunung Mas, Palangka Raya dan Taman Negara Tanjung Puting,” tambahnya lagi.
Difahamkan, operasi sama termasuk pengeboman air masih belum dilaksanakan di Kalimantan Selatan dan Kalimantan Barat berikutan keadaan awan yang tidak mengizinkan. - Agensi