Restoran di China saji tat telur dihiasi kumbang air rangup

Iklan
Sebuah restoran di Shunde, Guangdong, China menyajikan pencuci mulut baharu iaitu tat telur dihiasi kumbang air rangup yang kelihatan seakan-akan lipas gergasi.

BEIJING - Sebuah restoran di Shunde, Guangdong, China mencuri perhatian di media sosial apabila menyajikan pencuci mulut baharu iaitu tat telur dihiasi kumbang air rangup yang kelihatan seakan-akan lipas gergasi.

Memetik South China Morning Post, Shunde merupakan bandar yang terkenal dengan masakan Kantonis dan diiktiraf sebagai Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO.

Iklan
Iklan

Pada awal Oktober, restoran tersebut memperkenalkan menu baharu itu yang dijual pada harga 28 yuan (RM5.23) untuk tiga biji.

Gambar pencuci mulut berkenaan dengan seekor serangga besar diletakkan di atas setiap tat terus menjadi bualan ramai.

Iklan

Bagaimanapun, pemilik restoran yang hanya dikenali sebagai Pan berkata, meskipun ia dipanggil 'tat telur kumbang air rangup' atau 'tat telur lipas air', serangga itu sebenarnya bukan lipas.

Sebaliknya, menurut wanita itu, ia sejenis kumbang yang menyelam di dalam air.

Iklan

"Ia juga digunakan dalam perubatan tradisional Cina (TCM) yang dipercayai dapat menyihatkan kulit dan buah pinggang, melancarkan peredaran darah serta menguatkan otot dan tulang," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Pan memaklumkan, penyediaan tat telur itu memerlukan ketelitian.

Dia terlebih dahulu menghilangkan bau serangga itu sebelum menggorengnya pada suhu yang dikawal dengan teliti sehingga rangup, dengan sayapnya dibiarkan melekat bagi mengekalkan rasa selain memberikan kesan visual.

Jelasnya, produk yang siap dikatakan menggabungkan rasa manis dan masin, dengan tekstur pada bahagian atas yang disifatkan seperti 'lapisan kerepek kentang rangup di atas tat telur'.

Menurutnya, sesetengah pelanggan sanggup datang dari Guangzhou dan Hong Kong untuk mencuba pencuci mulut berkenaan yang dijual kira-kira 20 set sehari.

Menerusi perkongsian pengguna media sosial di sana, ramai pengguna mengakui berasa tidak selesa dengan pencuci mulut tersebut.

Kritikan itu bagaimanapun tidak menghalang Pan untuk terus menjual produk berkenaan.

"Saya akan terus menghasilkan hidangan inovatif yang mempunyai manfaat terapi pemakanan," ujarnya.

Produk itu turut mendapat perhatian kerana Guangdong, Shunde terkenal dengan lipasnya yang besar dan boleh terbang.

Walaupun bukan daripada spesies serangga yang sama seperti kumbang air, sesetengah jenis lipas termasuk lipas Amerika turut digunakan dalam TCM.

Sebagai contoh, ubat tradisional Cina berpaten dikenali sebagai Kangfuxin Liquid dihasilkan daripada lipas Amerika dan sering digunakan untuk merawat ulser perut serta ulser mulut.