BUENOS AIRES - Sakit perut teruk yang dialami seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di Argentina membongkar rahsia memeranjatkan apabila dia disahkan hamil enam bulan.
Insiden itu kemudiannya mencetuskan siasatan terhadap dakwaan penderaan seksual oleh bapa tirinya dikenali sebagai Julio Vivas yang berusia 33 tahun.
Hasil pemeriksaan, seorang pakar obstetrik Colonia Dora Hospital di Santiago del Estero mendapati, kanak-kanak itu sudah berada pada peringkat lanjut kehamilan.
Pendakwa raya yang mengetuai siasatan itu, Guillermo Farias mengarahkan penahanan Vivas di sebuah kawasan luar bandar di El Bracho.
Telefon bimbit suspek turut dirampas. Pihak berkuasa sedang mengumpulkan bukti dan merakam keterangan bagi mengenal pasti keadaan sebenar di sebalik dakwaan itu.
Nenek mangsa, Norma Gomez memberitahu dia pernah menasihati anak perempuannya, Andrea supaya tidak terlalu mempercayai Vivas yang dikenali menerusi media sosial.
Kes itu turut mengejutkan guru mangsa, Lucrecia yang mendakwa dia tidak pernah menyedari sebarang perubahan tingkah laku mencurigakan pada kanak-kanak itu ketika di sekolah.
Guru berkenaan menyifatkan mangsa sebagai seorang murid yang pendiam dan sentiasa menyiapkan kerja sekolah.
Pihak berkuasa bagaimanapun masih belum mendedahkan maklumat lanjut mengenai keadaan kesihatan mangsa atau langkah khusus yang diambil bagi melindungi kebajikannya. - Agensi