Premis perniagaan langgar undang- undang berdepan tindakan tegas - Kor Ming

Iklan
Nga Kor Ming.

PUTRAJAYA – Premis perniagaan yang melanggar undang-undang termasuk memberi sewaan kepada pihak asing akan berdepan tindakan tegas, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming.

Beliau berkata, warga asing yang ingin menjalankan perniagaan perlu menubuhkan syarikat dan membuat permohonan untuk melabur, bukannya menyalahgunakan visa bagi menjalankan perniagaan tanpa kebenaran.

Iklan
Iklan

Beliau berkata demikian mengulas mengenai laporan Sinar Harian yang mendedahkan pelbagai perniagaan aktif dipercayai dijalankan warga asing di sekitar bandar Klang, Selangor.

Tegas Kor Ming, tindakan penguatkuasaan itu penting bagi memastikan semua pihak mematuhi undang-undang negara dan tidak menjalankan perniagaan sewenang-wenangnya.

Iklan

“Kedaulatan undang-undang merupakan Rukun Negara dan tiada sesiapa pun terkecuali daripada mematuhinya," jelas beliau.

Terdahulu, dalam laporan eksklusif Sinar Harian mendedahkan, warga asing leka melakukan aktiviti perjudian bola golek di sebuah lorong yang tersorok berhampiran stesen bas lama, Klang hanya dengan menutup kawasan itu menggunakan kanvas hitam.

Iklan

Tinjauan Sinar Harian di lokasi turut mendapati seorang lelaki tempatan memegang walkie- talkie dipercayai sedang mengawasi kawasan berkenaan dari diserbu pihak berkuasa.

Selain itu, terdapat perniagaan aktif seperti menjual sireh, telefon bimbit, pakaian, barangan kemas serta barangan basah. Premis menjual daging dan barang basah antara yang mendapat sambutan.

Di lorong belakang pula, kelihatan beberapa pekerja asing sedang memotong daging di kawasan terbuka.

Dalam pada itu, Kor Ming memaklumkan sebanyak 28,000 lesen perniagaan warga asing tanpa izin dibatalkan dalam tempoh tiga tahun menerusi operasi penguatkuasaan bersepadu yang dilaksanakan bersama Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menurutnya, hampir 7,000 premis haram yang tidak mendapat kelulusan PBT turut dirobohkan, manakala 63,000 kompaun dikeluarkan dalam tempoh sama.