KUALA TERENGGANU - Program Jualan Agro Madani Mega Negeri Terengganu mencatatkan pencapaian luar biasa apabila nilai jualan dijangka mencecah RM1.3 juta pada hari kelima penganjuran sekali gus melepasi sasaran awal sebanyak RM690,000.
Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Faisal Iswardi Ismail berkata, program yang berlangsung bermula 21 hingga 25 Oktober lepas merupakan lokasi ketujuh daripada 10 lokasi yang dirancang sepanjang tahun 2026.
“Melihat kepada sambutan memberangsangkan di Terengganu yang melibatkan 59 usahawan dengan 104 lot perniagaan, FAMA menjangkakan nilai jualan keseluruhan mampu mencecah sehingga RM1.3 juta menjelang hari terakhir Ahad iaitu sekali ganda berbanding sasaran asal.
“Selepas Terengganu, siri Jualan Agro Madani Mega ini akan diteruskan di Melaka pada 6 hingga 8 November melalui Jualan Agro Madani Mega Khas dan di Sarawak pada 27 hingga 29 November depan,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian Jualan Agro Madani Mega Negeri Terengganu di Dataran Shahbandar di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah FAMA, Mohd Unit A. Bakar dan Pengarah FAMA Terengganu, Muhamad Fadlee Hassan.
Beliau berkata, inisiatif kerajaan Madani yang diperkenalkan sejak 2023 itu bertujuan mengurangkan kos sara hidup rakyat menerusi penawaran produk pada harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah daripada pasaran semasa.
Mengulas lanjut, katanya, program itu turut memberi fokus kepada penawaran harga penjimatan untuk komoditi telur ayam bagi menangani isu harga semasa yang tinggi.
Jelasnya lagi, FAMA menawarkan sebanyak 150,000 biji telur ayam Gred B dan C pada harga RM10 sepapan berbanding harga pasaran RM13.90 hingga RM14.00, sekali gus memberikan penjimatan sehingga 20 peratus.
“Melalui program ini, kita menawarkan penjimatan antara RM2.50 hingga RM5 di seluruh negara. Sebagai contoh, sepapan telur ayam gred B yang lazimnya dijual antara RM13 hingga RM14 di pasaran luar, ditawarkan pada harga mampu milik iaitu hanya RM10 sahaja.
“Di peringkat nasional, FAMA telah mengedarkan sebanyak 35 juta biji telur di seluruh negara melibatkan 152 outlet pemasaran FAMA dengan nilai RM13.4 juta sebagai langkah intervensi meringankan beban pengguna,” jelasnya.
Beliau berkata, selain barangan keperluan asas, program berkenaan turut mempergiatkan kempen mempromosikan buah-buahan tempatan menerusi pembelian duku Terengganu.
“Secara keseluruhan, penganjuran Jualan Agro Madani telah merekodkan sebanyak 3,344 sesi daripada 4,457 sasaran sehingga Disember 2026, mencatatkan nilai jualan keseluruhan sebanyak RM77.65 juta,” ujar beliau.
Katanya lagi, inisiatif itu turut merekodkan penjimatan pengguna sebanyak RM24.72 juta serta melibatkan 54,124 usahawan dan 4.63 juta pengunjung, sekali gus menyediakan platform pasaran tambahan di bawah seliaan FAMA dan Jabatan Pertanian di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Sementara itu, peniaga daging, Ahmad Danial Haris Amruzi, 29, berpuas hati dengan sambutan menggalakkan yang diterima daripada pengunjung.
“Menerusi program itu, harga daging yang asalnya dijual pada kadar RM30 diturunkan kepada harga promosi RM20, sekali gus menarik lebih ramai pembeli,” ujarnya.
Pandangan sama dikongsi pemilik Profesor Ayam Segar, Mohamad Kasyful Azim Mohd Sulaimi, 31, yang menyifatkan inisiatif berkenaan sangat membantu golongan usahawan muda sepertinya.
Katanya, sambutan luar biasa yang diterima menyaksikan perniagaannya berjaya menjual sebanyak 2,000 ekor ayam sehari sehingga jam 7 petang.
“Sebanyak 300 ekor diperuntukkan menerusi kupon berharga RM10 seekor, manakala selebihnya dijual pada harga RM7.99 sekilo selain ayam pencen turut dilelong pada harga RM6 sahaja untuk seekor,” jelasnya.