SG4 wajar beri perhatian isu bekalan air - Akmal Nasrullah

Iklan
Akmal Nasrullah - Foto fail Bernama

PUTRAJAYA – Negeri-negeri dalam gabungan SG4 wajar memberi perhatian terhadap isu bekalan air, khususnya di Kedah dan Kelantan, bagi memastikan agenda pembangunan ekonomi serta sasaran pertumbuhan jangka panjang dapat direalisasikan.

Tegas Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, kekangan infrastruktur asas seperti bekalan air bersih boleh menjejaskan usaha membangunkan ekonomi tempatan dan menarik lebih banyak pelaburan ke negeri berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perkara itu membimbangkan ketika Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis meletakkan sasaran pertumbuhan ekonomi sehingga tujuh peratus setahun menjelang 2050.

“Bagaimana untuk membangunkan ekonomi tempatan dan menarik pelaburan dengan lebih rancak tanpa kemudahan infra asas seperti ini?” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika mengulas sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah RM723.75 bilion bagi gabungan empat negeri itu menjelang 2050, seperti diketengahkan dalam SG4 Business & Economic Forum 2026 baru- baru ini.

Ujarnya, usaha mencapai sasaran ekonomi yang besar memerlukan perancangan berdaya maju, peningkatan produktiviti serta pelaksanaan projek dan pelaburan yang berkesan.

Iklan

"Saya tidak mahu memberikan komen terhadap sasaran pertumbuhan yang diletakkan, tetapi kita perlu semak usaha Kerajaan Persekutuan yang sewajarnya diketengahkan dalam perbincangan untuk membangunkan wilayah-wilayah ini," jelas beliau.

Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bharu berkata, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM7.70 bilion bagi perbelanjaan pembangunan untuk empat negeri berkenaan pada 2025, berbanding gabungan anggaran belanjawan pembangunan negeri sekitar RM1.13 bilion.

Menurutnya, komitmen pembangunan itu diteruskan menerusi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) 2026-2030 apabila sebanyak 1,487 projek pembangunan diluluskan bagi Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis dengan kos keseluruhan RM71.52 bilion.

Beliau berkata, peruntukan siling pembangunan bagi negeri-negeri itu di bawah Rolling Plan Kedua (RP2) 2027 turut meningkat kepada RM8.11 bilion berbanding RM7.98 bilion di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) 2026.

"Peningkatan sebanyak RM130 juta atau 1.6 peratus itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan untuk menyokong pelaksanaan projek pembangunan, termasuk dalam memperkukuh infrastruktur dan kemudahan asas," katanya.

Antara projek strategik yang menyokong pembangunan wilayah berkenaan ialah Kedah Rubber City, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Tok Bali Industrial Park, Kertih Biopolymer Park, Perlis Inland Port dan Chuping Valley Industrial Area.

Dari sudut pelaburan pula, Akmal berkata, data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi 2025 menunjukkan empat negeri itu merekodkan RM37.23 bilion pelaburan diluluskan dengan potensi mewujudkan 18,319 peluang pekerjaan.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kelulusan pelaburan tidak bermakna projek sudah siap, manakala potensi pekerjaan tidak bermaksud peluang itu telah direalisasikan.

Sehubungan itu, katanya, pelaksanaan projek perlu dipastikan supaya usahawan tempatan dapat menyertai rantaian bekalan, selain rakyat memperoleh pekerjaan berkualiti dan pendapatan lebih baik.

“Tatkala peruntukan pembangunan (DE) Persekutuan serta projek-projek pembangunan yang dibiayai Persekutuan giat dilaksanakan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi di negeri Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu, adalah wajar permasalahan dalam bentuk infrastruktur asas seperti bekalan air diberi perhatian sewajarnya oleh semua pihak yang berkenaan,” ujar beliau.