TRAGEDI tanah runtuh di Taman Seri Rambai, Paya Terubong, Pulau Pinang, yang meragut nyawa doktor berusia 73 tahun, Wong Kar Lin, sepatutnya menjadi titik perubahan dalam pendekatan pembangunan di lereng bukit.
Kematian itu menghidupkan semula persoalan lama iaitu sejauh mana keselamatan manusia diutamakan ketika pembangunan dilaksanakan di kawasan berisiko.
Malaysia bukan asing dengan bencana seumpama ini. Runtuhan Highland Towers pada 1993 mengorbankan 48 nyawa, manakala tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada 2008 meragut empat nyawa. Pada 2011, tragedi di Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat mengorbankan 16 orang.
Tragedi turut berlaku di tapak pembinaan Tanjung Bungah pada 2017 dan Bukit Kukus pada 2018, masing-masing mengorbankan 11 dan sembilan pekerja. Pada 2022, tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Batang Kali, meragut 31 nyawa.
Walaupun punca setiap kejadian berbeza, rentetan tragedi ini menuntut penelitian serius terhadap pengurusan risiko cerun, keselamatan pembangunan dan keberkesanan penguatkuasaan.
Ini bukan seruan menghentikan semua pembangunan di kawasan berbukit, sebaliknya, kawasan yang tidak dapat menjamin keselamatan penduduk tidak wajar dijadikan tapak pembangunan baharu.
Kepentingan komersial tidak boleh mengatasi tanggungjawab melindungi nyawa. Pihak berkuasa negeri dan tempatan perlu mengaudit projek lereng bukit, termasuk menyemak kelulusan, laporan geoteknikal, kestabilan cerun, sistem saliran dan rekod aduan penduduk. Projek yang menunjukkan risiko serius mesti dihentikan sehingga penilaian bebas mengesahkan keselamatannya.
Hasil penilaian perlu dimaklumkan penduduk supaya mengetahui risiko serta langkah perlindungan.
Pemotongan cerun, kehilangan litupan tumbuhan dan perubahan aliran air boleh meningkatkan risiko hakisan serta ketidakstabilan tanah jika tidak diuruskan dengan baik. Kesannya boleh melangkaui tapak projek, termasuk menjejaskan kediaman dan jalan raya.
Kelulusan awal bukan jaminan sesuatu cerun kekal selamat. Perubahan keadaan tanah, kerosakan saliran dan hujan menjadikan pemantauan berkala satu keperluan. Kerajaan negeri perlu menolak atau menghentikan projek apabila risiko tidak dapat dikawal.
Di sebalik angka korban, ada keluarga kehilangan insan tersayang dan penduduk terpaksa meninggalkan rumah kerana bimbang keselamatan.
Kehilangan nyawa tidak dapat digantikan dengan pampasan, manakala ketidakpastian tentang keselamatan kediaman membawa beban emosi dan kewangan kepada penduduk. Mereka tidak sepatutnya menanggung risiko daripada keputusan pembangunan yang tidak mereka buat.
Pihak berkuasa perlu menjelaskan tanggungjawab pemaju, jurutera, perunding dan agensi yang meluluskan serta memantau projek. Jika siasatan menemukan pelanggaran undang-undang atau kecuaian, tindakan sewajarnya mesti diambil berdasarkan bukti.
Kemajuan tidak boleh diukur melalui nilai pelaburan atau jumlah hartanah yang dibina semata-mata. Ukuran sebenar ialah keupayaan membangunkan kawasan secara bertanggungjawab tanpa mendedahkan manusia kepada bahaya yang boleh dicegah.
Jangan tunggu satu lagi keluarga kehilangan insan tersayang sebelum tindakan tegas diambil. Nyawa manusia tidak sepatutnya menjadi harga sebuah pembangunan.
*Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan ialah wartawan Sinar Harian