Soalan
Saya ingin bermusafir ke suatu tempat yang melebihi dua marhalah, namun ketika itu telah masuk waktu Zuhur. Apakah saya perlu tunaikan solat Zuhur terlebih dahulu atau boleh solat Zuhur dan Asar secara jamak dalam perjalanan?
Jawapan
Dalam situasi ini, dibolehkan untuk menunaikan solat Zuhur dan Asar secara jamak ketika dalam perjalanan, namun ada syarat yang perlu dipatuhi.
Menurut amalan mazhab Syafie, perkara yang perlu diambil perhatian ialah apakah sudah memulakan perjalanan musafir atau masih berada di kediaman ketika itu?
Apabila kita sudah keluar daripada kawasan permukiman dan memenuhi syarat musafir, kita boleh memilih untuk jamak takdim atau jamak takhir.
Kedua-dua solat tersebut boleh dilakukan secara qasar jika syarat qasar dipenuhi iaitu merangkumi perjalanan sejauh sekurang-kurangnya dua marhalah (81 km), mempunyai destinasi yang jelas, bertujuan baik dan bukan maksiat, melepasi sempadan tempat tinggal, serta berniat qasar semasa takbiratulihram.
Bagaimanapun, jika tiada keperluan mendesak, menunaikan solat Zuhur terlebih dahulu sebelum bertolak merupakan langkah yang lebih berhati-hati.
Adapun jika telah memulakan perjalanan walaupun selepas waktu solat Zuhur masuk, maka dibolehkan untuk solat jamak dan qasar apabila telah keluar dari kawasan mukim.