SHAH ALAM – Polis akan memanggil pencipta kandungan yang memasuki kediaman bekas personaliti televisyen, Zalina Azman di sini bagi mendapatkan penjelasan berhubung tindakannya serta memuat naik kandungan berkaitan di media sosial.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, pihaknya akan meneliti perkara itu terlebih dahulu bagi menentukan tindakan lanjut yang boleh diambil.
"Kita akan panggil pencipta kandungan itu, namun pihak polis sedang meneliti perkara tersebut terlebih dahulu bagi mengenal pasti tindakan yang boleh diambil," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Sebelum ini, tular perkongsian seorang pencipta kandungan yang mengunjungi kediaman Zalina bagi meninjau rumah itu susulan misteri kehilangannya.
Zalina dilaporkan gagal dihubungi sejak 24 November 2021 dan sehingga kini, kehilangan wanita itu masih menjadi misteri dengan polis mengekalkan statusnya sebagai Orang Hilang (OH).
ARTIKEL BERKAITAN: Keluarga risau keberadaan Zalina Azman: Ras Adiba
Kali terakhir jumpa badan Zalina susut
Minta kerjasama syarikat e-hailing cari Zalina Azman
[VIDEO] Wanita mirip Zalina Azman adalah gelandangan: Polis
Zalina Azman tidak bergaul, kurang dikenali jiran
[VIDEO] Bekas pembaca berita dilapor hilang masih tidak dijumpai
Dalam perkembangan sama, Sarudin berkata, siasatan berkaitan kehilangan Zalina masih diteruskan, namun setakat ini belum ada petunjuk kukuh yang membolehkan tindakan lanjut diambil.
"Polis sudah mengambil tindakan terhadap setiap maklumat dan petunjuk baharu yang diterima.
"Namun setakat ini masih belum ada petunjuk kukuh berhubung kehilangan wanita itu," katanya.
Beliau berkata, polis turut membuat semakan rekod keluar masuk Jabatan Imigresen, namun belum memperoleh perkembangan baharu berhubung kehilangan wanita itu.
Mengenai dakwaan kediaman Zalina diceroboh, Sarudin berkata, keadaan menunjukkan terdapat individu yang memasuki rumah itu sebelum ini.
Berdasarkan semakan polis, katanya, empat unit pendingin hawa di rumah berkenaan dipecahkan, manakala batang paip singki turut dilaporkan hilang.
Dalam pada itu, beliau berkata, rondaan berkala di kawasan kediaman berkenaan masih dilaksanakan oleh Balai Polis Seksyen 6.