Minta kerjasama syarikat e-hailing cari Zalina Azman

Rumah bekas pembaca berita TV3, Zalina Azman yang dipercayai hilang sejak November tahun lalu dalam keadaan sepi dan terbiar di Seksyen 3 di sini.
Rumah bekas pembaca berita TV3, Zalina Azman yang dipercayai hilang sejak November tahun lalu dalam keadaan sepi dan terbiar di Seksyen 3 di sini.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Ras Adiba Radzi akan mendapatkan kerjasama daripada syarikat e-hailing bagi membantu usaha pencarian rakan baiknya Zalina Shaharah Azman atau lebih dikenali sebagai Zalina Azman.

"Saya bersama suami dan beberapa sahabat ada berusaha dengan cara tersendiri bagi mencari Zal (Zalina) tetapi selepas ini saya akan bersama syarikat e-hailing untuk mereka menguar-uarkan mengenai kehilangannya,” katanya.

Beliau ditemui ketika melakukan lawatan ke rumah bekas pembaca berita sebuah stesen televisyen itu di Seksyen 3 di sini bersama Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim.

"Saya datang hari ini nak periksa sekiranya Zal ada pulang, tetapi ternyata rumah ini sama seperti yang mereka jumpa tahun lepas dan akan terus berdoa agar beliau masih selamat di luar sana,” katanya.

Ras Adiba berkata, beliau ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pagi tadi bagi memberikan sedikit informasi kepada pihak polis berkenaan wanita berusia 58 tahun itu dan berharap sahabat yang lain dapat juga memberi kerjasama agar dapat memberi jawapan mengenai kehilangan bekas rakan sekerjanya itu.

"Ramai yang cakap sudah terlalu lama (hilang) tapi bukan mudah untuk dapatkan jawapannya kalau ada orang hilang secepat mungkin tapi dengan sokongan semua, insya-Allah kita akan dapat sedikit maklumat di mana Zalina Azman berada dan bagaimana keadaannya.

"Sejak saya kenal dia dari awal 90-an beliau tidak ada sakit apa-apa. Memang sentiasa gembira tapi kita boleh lihat daripada gambar-gambar yang dikongsi nampak badannya telah susut.

"Jadi ramai yang tanya sakit apa, adakah dia dalam kegusaran tapi saya kata tidak tahu sebab saya pun dah lama tak bertemu beliau seperti sahabat-sahabat yang lain jadi mereka yang prihatin di luar sana bantulah sama-sama mencari Zalina Azman,” katanya.

Isnin lepas, Mohd Iqbal dalam satu kenyataan berkata pihaknya menerima laporan daripada anak lelaki Zalina Shaharah, Mikhael Norman, 33, berkenaan kehilangan ibunya pada 29 November tahun lepas. - Bernama

TAG: Ras Adiba, Zalina Azman, hilang, e-hailing