Wanita Malaysia tergelincir ke dalam lubang sedalam 10 meter di Da Lat, Vietnam

Iklan
Pihak berkuasa tempatan menarik keluar seorang wanita warga Malaysia yang tergelincir dalam lubang 10 meter di Da Lat, Vietnam. - Agensi

LAM DONG - Seorang wanita warga Malaysia berusia 40 tahun diselamatkan selepas tergelincir ke dalam lubang sedalam 10 meter ketika mendaki di Da Lat, Lam Dong, Vietnam pada Ahad, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA), memetik pihak berkuasa tempatan.

Kejadian berlaku kira-kira 5.45 pagi di kawasan pergunungan Hon Bo di wad Lam Vien-Da Lat, ketika wanita itu, yang dikenal pasti dengan inisialnya G.S.W. sedang mendaki di kawasan itu ketika tergelincir ke dalam lubang tersebut, yang dikatakan sebahagian daripada tapak perlombongan terbiar berdiameter kira-kira 70 sentimeter.

Iklan
Iklan

Dia terperangkap di dalam lubang itu dan rakan kumpulannya cuba menariknya keluar namun gagal.

Pihak berkuasa tempatan telah dipanggil dan memutuskan untuk melancarkan operasi menyelamat kecemasan.

Iklan

Wad Lam Vien-Da Lat menyelaras dengan pasukan tempatan serta Bahagian Pencegahan Kebakaran, Pemadaman Bomba dan Penyelamat di bawah Jabatan Keselamatan Awam wilayah untuk membantu pelancong berkenaan.

Pasukan penyelamat berjaya membawa wanita itu keluar daripada lubang itu sekitar 7.15 pagi dan membawanya ke Hospital Besar Lam Dong untuk rawatan kecemasan.

Iklan

Maklumat awal menunjukkan bahawa dia telah mengalami kecederaan pada buku lali kanannya. Dia menerima pertolongan cemas sebelum dipindahkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Gunung Hon Bo, berhampiran perkampungan bunga Thai Phien di Da Lat, merupakan destinasi popular untuk pendakian, pemburuan awan dan fotografi, menarik penduduk tempatan dan pelancong.

Gunung tersebut menawarkan pemandangan indah ke arah pusat Da Lat, terutamanya pada awal pagi.

Bagaimanapun, mendaki dan bersiar-siar secara spontan di kawasan itu boleh menimbulkan risiko keselamatan, terutamanya bagi pelawat yang tidak biasa dengan rupa bumi tempatan.

Pihak berkuasa menasihatkan supaya pengunjung berhati-hati apabila meneroka kawasan pergunungan dan mengelakkan mendaki secara bersendirian di lokasi di mana bentuk muka bumi dan potensi bahaya tidak diketahui. - Bernama