SHAH ALAM – Kementerian Komunikasi menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sedang menguruskan penyaluran bantuan Tabung Kasih@HAWANA kepada dua wartawan yang terlibat dalam kemalangan di Menglembu, Jalan Ipoh–Lumut, Perak pada pagi Ahad.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kedua-dua wartawan berkenaan telah menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
Katanya, perkembangan keadaan kedua-dua wartawan itu dimaklumkan oleh Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj.
“Saya baru dimaklumkan oleh Ketua Pengarang Bernama bahawa kedua-dua wartawan yang terlibat dalam kemalangan di Menglembu, Jalan Ipoh–Lumut pagi tadi telah menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
“Dalam pada itu, Kementerian Komunikasi menerusi Bernama sedang menguruskan penyaluran bantuan Tabung Kasih@HAWANA kepada kedua-dua wartawan berkenaan iaitu Zahratuhayat Md Arif dari New Straits Times (NST) dan Nur Afiradina Arshad dari Bernama,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Fahmi turut mendoakan agar kedua-dua wartawan berkenaan dipermudahkan segala urusan dan kembali pulih seperti sediakala.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mendoakan kesembuhan kedua-dua wartawan terbabit selain mengarahkan pegawainya menghulurkan bantuan segera kepada mereka.
Kemalangan berlaku kira-kira jam 6 pagi ketika Nur Afiradina, 34, dan Zahratuhayat, 37, dalam perjalanan untuk membuat liputan program yang dijadual dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Bagan Datuk.
Dalam nahas itu, kereta Perodua Bezza yang dinaiki kedua-dua mangsa dari arah Ipoh menuju ke Bagan Datuk dilapor dirempuh sebuah lori.
Susulan kejadian itu, Nur Afiradina dilaporkan menerima rawatan di zon kuning HRPB, manakala Zahratuhayat dibenarkan pulang selepas mendapatkan rawatan di hospital sama.