World Top Gourmet iktiraf kecemerlangan kulinari antarabangsa

Iklan
Sebahagian cef, jenama makanan dan minuman serta usahawan kulinari dari pelbagai negara yang menerima pengiktirafan pada Anugerah World Top Gourmet Kali Ke-8 2026

KUALA LUMPUR – Anugerah World Top Gourmet Kali Ke-8 2026 mengiktiraf kecemerlangan cef, jenama makanan dan minuman (F&B) serta usahawan kulinari dari pelbagai negara dalam usaha memperkukuh hubungan gastronomi di peringkat antarabangsa.

Presiden World Gourmet, Dr Peggy Chong berkata, pengiktirafan yang diberikan bukan sahaja meraikan pencapaian penerima, malah menjadi pemangkin kepada inovasi, pembangunan bakat dan pertumbuhan perniagaan dalam industri kulinari.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, World Gourmet berperanan sebagai platform yang menghubungkan komuniti gastronomi global, meningkatkan standard industri serta menggalakkan kerjasama rentas sempadan.

Steven Sim (tiga dari kanan) bersama kenamaan merasmikan Anugerah World Top Gourmet Kali Ke-8 2026.

Iklan

“Penganjuran tahun ini amat bermakna bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026, yang membuka peluang penting untuk memperkenalkan kepelbagaian budaya, warisan kulinari dan layanan mesra Malaysia kepada pelancong antarabangsa.

“Daripada makanan tradisional dan sajian jalanan hinggalah kepada gastronomi moden, makanan Malaysia mencerminkan identiti masyarakat berbilang kaum dan menjadi antara tarikan utama pelancongan negara,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada majlis Anugerah World Top Gourmet Kali Ke-8 2026 yang berlangsung di Andaman Grand Ballroom pada Khamis.

Majlis itu menghimpunkan pemain industri makanan dan minuman, cef terkemuka serta tokoh kulinari bagi meraikan pencapaian dan sumbangan mereka kepada industri berkenaan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim hadir sebagai tetamu kehormat, manakala cef selebriti Malaysia, Datuk Chef Wan dan cef antarabangsa, Dr Martin Yan diraikan sebagai cef kehormat.

Steven Sim (tiga dari kiri) ketika hadir sebagai tetamu kehormat pada Anugerah World Top Gourmet Kali Ke-8 2026.

Antara jenama antarabangsa yang menerima pengiktirafan ialah Meng Zi Yuan dan Tao Tao Ju dari China, Yang Ming Spring dari Taiwan serta Quan An Ngon dari Vietnam.

Turut menerima pengiktirafan ialah jenama tempatan termasuk Andaman Seafood Village, Cooper Mansion dan Seri Bako by Kwan Kee.

Anugerah berkenaan turut mengiktiraf pencapaian pengasas restoran terkenal seperti Village Park, Madam Kwan’s dan D'Tandoor atas sumbangan mereka kepada industri makanan.

Dalam kategori bakat kulinari, cef Malaysia Anis Nabilah antara penerima pengiktirafan bersama Professor Chef Brad Bennett dari Australia, Chef Sam Leong dari Singapura dan Chef Ryan Von Smith dari Amerika Syarikat.

Sementara itu, Professor Chef Zamzani Abdul Wahab atau lebih dikenali sebagai Chef Zam dilantik sebagai Duta World Gourmet 2026 sebagai penghargaan terhadap sumbangan beliau kepada pembangunan industri kulinari.

World Gourmet turut menggesa pengusaha F&B terus berinovasi, mengekalkan standard kualiti dan meneroka pasaran baharu bagi menghadapi cabaran peningkatan kos operasi serta perubahan cita rasa pengguna.

Anugerah World Top Gourmet Kali Ke-9 dijadualkan berlangsung pada Januari 2027 di Shangri-La Guangzhou, China dalam usaha memperkukuh hubungan Malaysia-China serta menggalakkan pertukaran kepakaran kulinari antarabangsa.